|
![]() |
|
PROVOKASI... Salah seorang daripada dua askar Korea Utara menjelirkan lidah ketika berkawal di perkampungan Panmunjom, semalam. - Reuters. |
SEOUL 11 Okt. – Korea Utara memberi amaran serangan balas secara fizikal sekiranya Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ke atas rejim komunis tersebut manakala Korea Selatan dilaporkan sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan konflik nuklear.
“Sekiranya AS terus mendesak kami dan meningkatkan tekanan, kami akan menganggapnya sebagai pengisytiharan perang dan akan mengambil beberapa siri pendekatan fizikal,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Korea Utara.
Jelas kenyataan itu lagi, Korea Utara bersedia untuk berunding dan juga konfrontasi.
Media-media Jepun hari ini melaporkan, aktiviti seismos menunjukkan terdapatnya letupan nuklear terbaru sehingga mencetuskan kebimbangan Korea Utara mengadakan ujian nuklear terbaru.
Bagaimanapun kemudian ia dianggap berkaitan dengan gempa bumi.
“Saya tidak tahu mengenainya. Bagaimanapun tidak ada alasan untuk kami menyembunyikan ujian nuklear terbaru,” ujar pegawai Korea Utara itu.
Katanya, ujian nuklear kedua memerlukan pertimbangan politik dan ekonomi.
Korea Utara selama ini menganggap sebarang sekatan sebagai perisytiharan perang.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini membincangkan sekatan keras ke atas Korea Utara kerana mengadakan ujian nuklear, tatkala China yang merupakan sekutu rapat Pyongyang menyatakan kesediaan menyokong sekatan.
Jepun dan Amerika Syarikat (AS) juga telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan PBB supaya mengenakan tindakan keras.
– Agensi
IKLAN@UTUSAN
|