Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PENDIDIKAN

ARKIB : 19/09/2006
Bahasa Arab kini atasi bahasa Inggeris

Bahasa Arab kini atasi bahasa Inggeris

BAHASA Inggeris akan menghadapi zaman kejatuhannya dan tidak lagi menjadi bahasa komunikasi utama dunia.

Pakarlinguistik Britain David Graddol berkata, pada masa ini bahasa Inggeris menghadapi persaingan dan bukan lagi menjadi bahasa kedua bagi sesuatu komuniti dunia.

Bahasa Mandarin dan bahasa Sepanyol serta bahasa Arab kini mengambil alih kedudukan bahasa Inggeris sebagai pilihan kedua penduduk dunia selepas bahasa ibunda masing-masing.

Di negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bahasa Mandarin muncul sebagai bahasa yang `mesti dikuasai' oleh masyarakat negara berkenaan.

Graddol dalam ceramah yang dianjurkan oleh British Council baru-baru ini berkata, perkara yang sama juga berlaku di Korea Selatan.

Malah di United Kingdom (UK) ada sekolah yang mewajibkan bahasa Mandarin kepada para pelajarnya.

Kerajaan China juga menyokong minat masyarakat dunia mempelajari bahasa Mandarin sebagai bahasa asing atau bahasa kedua melalui suatu rangkaian di seluruh dunia yang dikenali sebagai Institut Confucius yang mula ditubuhkan di Seoul, Korea Selatan pada November 2004.

Institut yang sama juga telah ditubuhkan di Stockholm, Perth, Nairobi dan Washington. Dianggarkan 30 juta masyarakat dunia telah mempelajari bahasa Mandarin dan kerajaan China menjangkakan angka itu akan meningkat kepada kira-kira 100 juta orang dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Banyak negara Asia menyedari keperluan untuk menguasai bahasa itu berikutan meningkatkan kepentingan ekonomi di China, contohnya, Korea Selatan kini lebih banyak melakukan perdagangan dengan China berbanding AS, katanya. Dalam pada itu satu lagi pesaing terdekat bahasa Inggeris ialah bahasa Sepanyol namun peningkatan jumlah petuturnya banyak berpunca daripada peraturan yang diluluskan oleh sesebuah negara.

Contohnya Brazil, salah satu negara baru ekonomi yang penting di luar China dan India telah meluluskan satu undang-undang pada Julai tahun lalu yang mahu semua sekolah menengah di negara itu menawarkan kursus bahasa Sepanyol, sekali gus membenarkan pelajarnya memilihnya sebagai alternatif kepada bahasa Inggeris.

Kekurangan guru dan buku teks dijangka akan berlaku berikutan penawaran kursus itu kepada sembilan juta pelajar sekolah menengah di seluruh Brazil, katanya.

Peningkatan kepentingan bahasa Sepanyol amat jelas di beberapa bahagian Amerika Selatan seperti Trinidad dan Tobago yang mengisytiharkan pada tahun lalu bahawa negara itu mahu menjadi sebuah negara yang masyarakatnya mampu bertutur bahasa Sepanyol menjelang 2020.

Sasaran negara itu ialah sekurangkurangnya 30 peratus kakitangan awam mahir bertutur bahasa berkenaan dalam tempoh lima tahun. Sementara bahasa Arab dilihat antara bahasa dunia yang paling cepat berkembang dan menjadi persaingan kepada bahasa Inggeris berdasarkan keluasan demografi.

Malah peranan media seperti Al-Jazeera yang kini dapat diikuti oleh masyarakat dunia turut mempengaruhi minat masyarakat dunia untuk mempelajari bahasa berkenaan.

Dalam pada itu Graddol semasa melancarkan buku barunya yang bertajuk English Next berkata, walaupun kemampuan menguasai bahasa Inggeris pada suatu ketika dahulu dilihat sebagai suatu kelebihan kepada seseorang tetapi kini menguasai satu lagi bahasa adalah suatu kemestian.

Bukan maksud saya mengatakan bahawa mempelajari bahasa Inggeris tidak lagi penting kerana ia masih lagi bahasa yang luas digunakan di dunia tetapi penguasaan satu lagi bahasa juga penting, katanya.

Graddol juga menegaskan pelaksanaan bahasa Inggeris kepada sesuatu mata pelajaran atau kurikulum di sekolah contohnya dalam Matematik dan Sains memerlukan tempoh yang lama untuk melihat kesannya.

Minimum antara 20 sehingga 30 tahun diperlukan bagi memastikan kejayaan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelaksanaan itu kerana ia perlu kajian, pelaksanaan yang sistematik serta berperingkat kerana ia melibatkan bahasa, katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN