Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 03/08/2006
Pelajar cedera dibelasah sekumpulan pelajar senior

Pelajar cedera dibelasah sekumpulan pelajar senior

ALOR STAR 2 Ogos – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah St. Michael di Jalan Teluk Wanjah di sini, parah di kaki kiri selepas dibelasah sekumpulan pelajar senior di sekolahnya, hari ini.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, pelajar terbabit Lim Foo Wooi, 16, dipercayai dibelasah oleh sekumpulan pelajar tingkatan lima setelah dia terserempak dengan mereka yang sedang bergaduh sesama sendiri.

Akibat kejadian itu, Foo Wooi mengalami pendarahan teruk di kaki kiri dipercayai terkena cermin tingkap menyebabkan urat kaki kirinya putus.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Star (HAS) di sini oleh salah seorang guru di sekolah tersebut yang kemudiannya menghubungi keluarga mangsa di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar untuk memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurut bapa mangsa, Lim Eng Seng, (gambar) 50, anak sulungnya itu memberitahu, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke kelasnya bila terserempak dengan sekumpulan pelajar yang sedang bergaduh.

“Anak saya kemudian bergegas beredar dari kawasan itu kerana tidak mahu masuk campur, tetapi tiba-tiba sekumpulan pelajar menyerang Foo Wooi kerana menyangkakan dia adalah orang yang dihantar untuk membantu kumpulan lain.

“Anak saya cuba mempertahankan diri, tetapi tiba-tiba salah seorang pelajar daripada kumpulan terbabit membaling cermin tingkap ke arah anak saya dan kena kaki kirinya,’’ katanya ketika ditemui di Hospital Alor Star (HAS) di sini hari ini.

Sementara itu, Pengetua sekolah terbabit, Goh Ah Hee ketika dihubungi menjelaskan pihaknya masih menyiasat perkara tersebut dan enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Zainal Abidin Kasim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan tersebut dan polis telah menahan 19 pelajar untuk siasatan lanjut.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN