Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
LUAR NEGARA

ARKIB : 01/06/2006
30 bilion dijangka tonton Piala Dunia 2006

30 bilion dijangka tonton Piala Dunia 2006

SINGAPURA 31 Mei - Lebih 30 bilion penonton di seluruh dunia dijangka menyaksikan kejohanan Piala Dunia 2006 dengan kebanyakan agensi media di Asia kini menyasarkan jumlah penonton teramai dalam sejarah, yang akan menonton kejohanan nombor satu dunia itu.

Bagaimanapun perangkaan tersebut tidak mengambil kira jutaan lagi penonton yang mungkin memilih Internet atau telefon bimbit berteknologi tinggi untuk menyaksikan perlawanan.

Ini bermakna perangkaan sebenar penonton mungkin jauh lebih tinggi.

Ketika ini, ramalan populariti rancangan televisyen yang menyiarkan perlawanan bola secara langsung dan program diskusi meningkat berbanding dengan seramai 28.8 bilion penonton empat tahun lalu.

Di China umpamanya, badan penyiaran negeri, CCTV menganggarkan kira-kira 10 bilion penduduk negaranya akan menonton Piala Dunia.

Begitu juga di India kerana jumlah penonton yang menyaksikan Piala Dunia mampu mengatasi perlawanan kriket melibatkan pasukan kebangsaan mereka.

Pengarah Urusan rangkaian ESPN India, R.V. Venkateish memberitahu, seramai 75 juta penduduk India menyaksikan Piala Dunia 2002 dan angka tersebut dijangka meningkat kali ini.

“Sasaran kami di sini ialah untuk memecahkan jumlah penonton yang menyaksikan Piala Dunia empat tahun lalu dan jika tiada aral melintang, 100 juta penonton merupakan sasaran kami,’’ katanya.

Selain China dan India, bahang turut dirasai di Vietnam, Korea Selatan dan Jepun.

Beberapa pakar media asing meramalkan, seramai 80 peratus daripada keseluruhan penduduk Vietnam akan memuatturunkan perkakasan yang ada pada telefon bimbit untuk menyaksikan kejohanan itu.

Tiga badan penyiaran Korea Selatan iaitu KBS, SBS dan MBC turut bercadang memberikan liputan meluas kejohanan tersebut dan meramalkan, populariti stesen-stesen berkenaan melonjak antara dua hingga tiga peratus.

Di Jepun, sungguhpun agensi media enggan memberikan ramalan terhadap jumlah penonton yang akan menyaksikan Piala Dunia kali ini, mereka percaya perlawanan-perlawanan yang disiarkan mampu memberikan impak kepada peningkatan populariti dan jumlah penonton.

Dianggarkan Jepun telah membelanjakan kira-kira RM453.6 juta (AS$126 juta) bagi mendapatkan hak liputan Piala Dunia untuk memenuhi keperluan penonton.

- AFP

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN