VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 09/05/2006

Shanon tidak kecil hati

SEBELUM Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) melabuhkan tirainya pada malam 29 April lalu, ramai yang kurang mengenali siapakah penyanyi yang bernama Shanon.

Malah, album pertamanya yang berjudul Dilanda Cinta juga kurang disedari kehadirannya biarpun ia sudah berada di pasaran sejak April tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas penyanyi berusia 27 tahun itu menggondol anugerah kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) pada AIM13 itu, ramai pula yang ingin mengenalinya.

Shanon atau Shanon Shah Mohd. Sidik mengejutkan ramai orang apabila dia mengetepikan nama-nama besar seperti Jamal Abdillah dan Hazami menerusi kategori tersebut.

Tidak kurang juga yang mempertikaikan kemenangan anak bongsu daripada tiga beradik kelahiran Alor Setar, Kedah ini.

Namun, artis InterGlobal Music (M) Sdn. Bhd. ini menerima dengan hati terbuka pertikaian yang dilontarkan kepadanya.

Wartawan ABD. AZIZ ITAR sempat menemu bual penyanyi kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini bagi menyelami perasaan dan latar belakangnya secara lebih dekat lagi. Ikuti wawancara tersebut.

Apakah perasaan anda apabila kemenangan anda di AIM13 dipertikaikan?

SHANON: Saya terima dengan hati yang terbuka. Ini kerana saya tahu ramai yang tentunya tertanya-tanya bagaimanakah saya boleh memenangi kategori itu? Malam itu, kalau saya tidak menang sekalipun, saya tetap berbangga kerana diberi peluang menyanyikan sebuah lagu daripada album saya yang berjudul Dilanda Cinta.

Adakah anda kecil hati apabila dipertikaikan?

Saya tidak berkecil hati kerana saya akui ramai peminat yang sebelum ini tidak mengenali bakat saya. Apa pun terima kasih kepada juri AIM kerana memilih saya sebagai pemenang kategori itu.

Jika bukan anda, siapakah calon yang anda rasa paling layak memenangi kategori tersebut?

Bagi saya, kalau dinilai dari segi populariti ataupun bakat, saya rasa sama ada Hazami atau Jamal Abdillah adalah calon yang dijangka memenangi kategori tersebut.

Reaksi bagaimanakah yang anda terima selepas memenangi anugerah tersebut?

Saya dapat banyak maklum balas. Komposer Ramli M.S. menegur saya selepas saya menerima anugerah itu. Katanya dia gembira dengan kemenangan saya itu.

Adakah anda rasa kemenangan anda itu berbaloi?

Saya rasa kemenangan saya itu berbaloi kerana album itu dihasilkan atas idea dan kreativiti saya. Ini kerana sembilan daripada 10 lagu dalam album itu adalah ciptaan saya. Saya bersyukur kerana syarikat rakaman InterGlobal Music (M) Sdn. Bhd. telah memberi kepercayaan kepada saya untuk merakamkan lagu-lagu sendiri walaupun saya penyanyi baru.

Ceritakan sedikit pengalaman anda mencipta lagu?

Saya mula terbabit dalam dunia muzik dengan belajar bermain piano ketika berusia enam tahun. Saya mula mencipta lagu ketika berusia 12 tahun. Tetapi ketika itu saya sekadar mencuba walaupun bakat mencipta lagu belum digilap sepenuhnya. Ketika berusia 13 tahun iaitu pada tahun 1991 barulah saya betul-betul mencipta lagu. Lagu pertama saya berjudul Karim. Ia mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

Setakat ini, berapa banyakkah lagu-lagu ciptaan anda yang belum dirakamkan?

Setakat ini saya ada 10 hingga 15 lagu-lagu terbaru ciptaan saya yang belum dirakamkan. Jika diberi peluang, saya mahu merakamkan lagu-lagu itu dalam album kedua saya nanti.

Sejak bilakah anda mula menceburkan diri sepenuh masa dalam bidang muzik?

Saya mula serius dalam bidang ini sejak kira-kira setahun yang lalu. Sebelum ini saya bekerja sepenuh masa sebagai Pegawai Eksekutif Penganalisa Risiko Kredit di Petronas selama beberapa tahun.

Artis manakah yang banyak memberi sumber inspirasi kepada anda untuk menjadi penyanyi?

Sebenarnya, saya minat dengan penyanyi yang bermain piano seperti Elton John dan Billy Joel. Ini kerana saya juga merupakan penyanyi yang menyanyi sambil bermain piano. Selain itu, saya juga amat meminati penyanyi dan pemuzik jazz, Nina Simone, iaitu seorang penyanyi kulit hitam dari Amerika Syarikat. Mereka adalah antara penyanyi yang banyak memberi sumber inspirasi kepada saya.

Adakah kemenangan pada AIM13 akan membuka ruang kepada anda untuk melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian?

Itulah doa dan harapan saya.

Selama ini adakah anda rasa anda mempunyai peminat sendiri?

Saya rasa ada tetapi jumlahnya tidak ramai. Setiap kali saya menyanyi ada peminat yang datang menyaksikannya. Ketika mengadakan sesuatu persembahan, saya juga berjaya menjual cakera padat album-album saya sekitar 30 keping kepada para penonton. Malah, sewaktu saya dicalonkan dalam program Muzik-Muzik anjuran TV3, ramai juga peminat yang mengundi saya.

Akhir sekali, apakah impian anda pada masa depan?

Saya harap saya akan diberi peluang untuk merakamkan album kedua. Selain itu, impian saya pada masa depan adalah untuk mengadakan konsert. Pada konsert itu kelak, saya mahu membuktikan kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi dan juga pemain piano.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.