VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 05/04/2006

Masjid tertua Melaka pertahankan seni bina tempatan


Masjid Kampung Hulu merupakan masjid tertua di Melaka dan dibina sekitar tahun 1720 hingga 1728.


SELAIN runtuhan Kota A’Famosa, Bastion House dan Stadthuys di Melaka berjaya mencuri perhatian pelancong seluruh dunia, salah satu binaan lama dan bersejarah yang turut menarik perhatian di negeri itu adalah masjid-masjid lamanya.

Masjid-masjid lama di Melaka didapati mempunyai seni bina yang begitu indah, klasik dan masih kukuh sehingga ke hari ini.

Melaka sehingga kini mempunyai lebih daripada 54 buah masjid lama yang berusia lebih 100 tahun dan kesemuanya telah diwartakan sebagai bangunan warisan sejarah oleh kerajaan negeri.

Paling unik apabila ciri-ciri seni bina masjid di negeri itu disifatkan mempunyai struktur binaan yang seragam dan kelihatan hampir sama antara satu sama lain, walaupun di berbeza daerah seperti di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Kelainan seni bina masjid lama di negeri ini jika dibandingkan dengan masjid di negeri-negeri lain adalah terletak pada tiga lapisan bumbungnya yang diperbuat daripada tanah liat dan sebuah menara batu yang berbentuk seperti kubu, namun sebenarnya berfungsi sebagai tempat laungan azan. Masjid-masjid lama di negeri ini juga mempunyai empat tiang seri yang menjadi pendokong kepada bumbung dan lantai masjid.

Berdasarkan kajian oleh beberapa penyelidik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), masyarakat Melayu di negeri ini suatu masa dahulu mempunyai kepercayaan tersendiri iaitu setiap lapisan bumbung masjid di negeri ini mempunyai maksud tertentu dan mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’.

Ada pendapat lama yang menyatakan bahawa seni bina setiap masjid di negeri ini mempunyai pengaruh luar yang dibawa dari pedagang-pedagang India, China dan Arab.

Perzim bagaimanapun mempertahankan hak seni bina masjid-masjid di negeri yang dianggap mempunyai ketulenan tempatannya yang tersendiri.

Pengurus Besar Perzim, Datuk Dr. Ramlah Adam menegaskan bahawa senibina masjid di negeri ini direka oleh masyarakat Melayu di negeri ini sendiri dan ia tidak mempunyai pengaruh luar seperti yang disangkakan.

Menurutnya, masyarakat Melayu di negeri ini juga mempunyai ramai tukang bina tersohor yang mahir dalam seni bina tempatan.

''Saya ingin menyangkal bahawa seni bina masjid negeri ini sama seperti pagoda di China mahupun pengaruh-pengaruh luar yang lain.

''Kajian yang dilakukan oleh penyelidik tempatan mendapati ukiran yang terdapat pada bahagian bumbung dan dinding masjid di negeri ini merupakan ukiran asli Melayu yang melambangkan alam semula jadi.

“Kita tidak boleh lupa bahawa masyarakat Melayu juga pandai dalam seni ukiran sejak berkurun lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ukiran dan seni bina masjid-masjid di negeri ini dikatakan hanya menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan. Malah, pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat.

Dalam pada itu, bahan binaan pada bahagian dinding masjid juga dipercayai diperbuat daripada campuran putih telur dan pasir serta batu granit. Salah satu contoh masjid lama yang menarik perhatian pelancong di negeri ini adalah Masjid Kampung Hulu yang dibina di Jalan Kampung Hulu, Banda Hilir di sini.

Ia merupakan masjid tertua di negeri ini dan dibina sekitar tahun 1720 hingga 1728. Masjid ini dipercayai dibina oleh Datuk Arom atau Harun iaitu seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam.

Masjid ini juga dipercayai dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan telah diubahsuai dengan binaan batu konkrit pada tahun 1892.

Pada waktu ini, dalam perkarangan masjid berkenaan turut terdapat beberapa buah rumah kedai yang disewakan kepada orang perseorangan yang menjadikannya sebagai masjid terkaya antara masjid-masjid di negeri ini.

Masjid kedua tertua adalah Masjid Tengkera yang terletak di sebelah kanan Jalan Tengkera yang namanya diambil bersempena dengan nama mukim Tenquerah oleh pemerintahan Portugis di Melaka.

Bangunan asalnya dipercayai dibina sekitar tahun 1750-an dan telah dibaiki pada tahun 1850-an. Masjid ini bercirikan seni bina tradisional Melaka dan campuran seni bina Sumatera dan China.

Masjid ini mempunyai sedikit kelainan kerana mempunyai tiga lapisan bumbung iaitu bumbung beranda, bumbung ruang sembahyang dan bumbung kubah.

Di bahagian hadapan masjid ini dipagari dengan tembok batu yang dihias kekisi porselin manakala pintu gerbangnya dihiasi dengan ukiran tulisan khat dan bumbungnya berbentuk seperti pagoda.

Terdapat juga sebuah menara batu yang mempunyai bumbung tanah liat berkeliling pada bahagian bawahnya. Satu lagi masjid tertua di negeri ini adalah Masjid Peringgit.

Pada asalnya ia dibina di Bukit Peringgit pada tahun 1726, tetapi ia telah musnah akibat perlaku peperangan. Kemudiannya ia telah dibina semula pada 1868 di tempat yang sama.

Masjid ini unik kerana berbentuk empat segi ,manakala bahan binaannya terdiri daripada batu laterit dan batu-bata terra cotta yang wujud pada zaman Belanda sebagai asas dan dinding.

Pada 1978, kerajaan negeri telah membuat kerja-kerja penambahan pada bahagian belakang masjid dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi dan kolam.

Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Masjid Negeri iaitu Masjid Al Azim di Bukit Palah. Masjid ini sehingga kini digunakan untuk singgahan dan sembahyang harian sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.