|
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menggesa umat Islam supaya mengamalkan ajaran Islam sebenar dengan berpandukan Al-Quran dan hadis bagi meningkatkan kualiti hidup.
Seri Paduka bertitah umat Islam perlu menjadi umat yang berupaya mencipta kejayaan di masa depan dan memartabatkan semula keagungan insan berpandukan Al-Quran.
``Itulah tugas utama generasi sekarang bagi memastikan generasi akan datang mampu berdikari dan mempunyai jati diri bagi meneruskan kegemilangan,'' titah Seri Paduka semasa merasmikan majlis Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa kali ke-47 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Saranan itu bersesuaian dengan maksud tersirat tema tilawah tahun ini iaitu `Islam Hadhari Menjana Kemajuan Ummah' dan Seri Paduka berharap generasi baru hari ini dididik supaya sentiasa berakhlak mulia menurut akhlak yang dituntut al-Quran.
``Mereka perlu bertindak, beramal dan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang dikhabarkan melalui al-Quran,'' titahnya.
Yang di-Pertuan Agong menegaskan: ``Setiap perlakuan perlu berlandaskan wahyu Ilahi supaya mereka tidak terjebak dalam aktiviti yang kurang sihat, merosakkan akidah dan memusnahkan karamah insan.
``Beta benar-benar menaruh hara-pan semoga segala usaha yang dicurahkan oleh semua pihak bagi mengembalikan kegemilangan negara dan masyarakat akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat,'' titah baginda
Seri Paduka mengajak semua umat Islam bersama-sama kembali merujuk kepada Al-Quran dalam menyelesaikan masalah kehidupan dan haruslah peka, bijak dan pintar untuk memanfaatkan segala ruang, peluang, nikmat serta pelbagai ciptaan Allah di muka bumi ini.
Tonggak utama bagi memugar dan mengimarahkan manfaat itu ialah ilmu pengetahuan, titah Seri Paduka.
``Agama Islam amat menggalak dan menuntut umatnya untuk meneroka dan mencari ilmu. Penguasaan kepada pelbagai disiplin ilmu pengetahuan akan mampu mengangkat martabat dan kedudukan manusia, khususnya umat Islam,'' titah Yang di-Pertuan Agong. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|