Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 07/09/2005
Bas UUM terjunam disyaki dipandu laju

Bas UUM terjunam disyaki dipandu laju

ALOR STAR 6 Sept. - Bas Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terjunam ke dalam anak sungai di Bukit Kachi, Sintok petang semalam dipercayai dipandu laju di kawasan selekoh sehingga seorang pelajar terjatuh di atas stering yang menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Asisten Supritendan Harison Othman berkata, pemandu berusia 29 tahun yang hanya mengalami cedera ringan itu juga telah membuat laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7 petang semalam di Balai Polis Jitra.

Menurutnya, bas tersebut juga membawa penumpang yang melebihi had muatan dan dipercayai terdapat 63 orang pelajar di dalamnya.

``Masalahnya, mereka ini selagi boleh masuk, mereka akan masuk walaupun sudah melebihi had,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti yang menyatakan pemandu terbabit bersalah.

Sementara itu, tiga pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu kini masih dirawat di Hospital Alor Star (HAS) kerana mengalami kecederaan agak parah.

Tiga yang sedang dirawat di HAS adalah Nurhafizah Che Non dari Pasir Mas Kelantan, Nurhafzan Ismail dari Kuala Terengganu dan Ng Yin Meng dari Jerantut, Pahang.

Nurhafizah dan Ng Yin Meng mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang manakala Nurhafzan patah tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Semalam, bas milik UUM itu terjunam ke dalam anak sungai ketika dalam perjalanan dari kampus universiti itu ke asrama di Bukit Kachi menyebabkan tiga pelajar cedera parah manakala selebihnya cedera ringan.

Kejadian itu berlaku kira-kira dua kilometer dari pintu masuk utama universiti berkenaan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN