|
ALOR STAR 5 Sept. - Tiga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) parah dan 48 pelajar lagi cedera ringan setelah bas yang mereka naiki dari kampus ke asrama di Bukit Kachi, Sintok terbabas ke dalam sungai.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Daerah Kubang Pasu, Asisten Supritendan Hairi Othman berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang apabila pemandu bas gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di satu selekoh tidak jauh dari kawasan asrama.
Bas milik syarikat UUM itu dikatakan membawa muatan penumpang melebih had, menyebabkan seorang daripada pelajar terjatuh dan terkena stereng bas sehingga pemandunya tidak dapat mengawal kenderaan itu.
``Bas itu terbabas ke dalam gaung sedalam empat hingga lima meter dari jalan berkenaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Hairi memberitahu, tiga pelajar yang patah patah tangan dan cedera di bahagian tulang belakang dihantar ke Hospital Alor Star untuk rawatan lanjut.
Selain itu, 48 pelajar lain yang cedera ringan hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar di klinik UUM.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menjelaskan lebih lanjut nama-nama pelajar yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Tambahnya, pemandu bas itu juga turut cedera ringan dan telah membuat laporan di balai polis berdekatan.
``Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,'' katanya lagi.
Sementara itu, menurut Pengarah Hal Ehwal Pelajar UUM, Zaini Nasri, bas tersebut berulang alik dari kampus ke asrama Bukit Kachi sejauh dua kilometer untuk mengangkut pelajar setiap hari.
IKLAN@UTUSAN
|