|
![]() |
|
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin (tengah) membelek peralatan komunikasi Cisco Systems di APDE 2005, Kuala Lumpur baru-baru ini. |
DALAM sesuatu bencana, operasi mencari dan menyelamat mangsa sering kali berhadapan dengan masalah perhubungan.Ini kerana agensi-agensi yang terlibat menggunakan frekuensi berbeza pada sistem komunikasi masing-masing seperti frekuensi sangat tinggi (VHF), frekuensi tinggi (HF) dan frekuensi ultra tinggi (UHF).
Penyelamat
Masalah berkenaan yang merupakan antara cabaran utama kepada pasukan penyelamat seperti tentera, polis dan bomba menyebabkan usaha mencari serta menyelamat mangsa sering terganggu.
Bagaimanapun hari ini, masalah berkenaan mampu diatasi dengan penemuan baru dalam sistem komunikasi yang berasaskan protokol internet (IP).
Antara syarikat pengeluar yang memiliki produk berasaskan sistem berkenaan adalah Cisco Systems.
Teknologi Cisco Systems berupaya menggabungkan kesemua jenis sistem komunikasi kepada satu rangkaian IP.
Menurut Pengarah Urusan Cisco Systems (M) Sdn. Bhd., Kumaran Singaram, teknologi sedemikian membolehkan semua jenis komunikasi iaitu video, suara dan data, wayar serta suara tanpa wayar yang menggunakan pelbagai frekuensi dihubungkan melalui satu rangkaian.
Jelasnya, tidak kira di ceruk dunia mana sekali pun, seseorang itu mampu dihubungi sekiranya beliau mempunyai peralatan IP seperti telefon bimbit, telefon IP atau komputer peribadi (PC).
Cisco Systems baru-baru ini memperlihatkan produk-produknya dalam Pameran Pertahanan Elektronik Asia Pasifik (APDE) 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu turut disertai pelbagai firma yang terlibat dalam industri pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kumaran berkata, keberkesanan IP dalam sesuatu operasi ketenteraan terbukti dalam latihan yang diadakan di Amerika Syari-kat (AS) dan Australia baru-baru ini.
Di AS, satu latihan dikenali sebagai JUICE 2004 diadakan di St. Louis, Missouri pada bulan Ogos tahun lalu.
Objektif JUICE 2004 adalah memperkukuh komunikasi suara IP dalam masa kecemasan.
Dalam latihan itu, pasukan Pengawal Kebangsaan AS telah memperlihatkan keupayaan mengatur kedudukan rangkaian suara IP dengan pantas ketika bekalan kuasa terputus.
Pasukan Pengawal Kebangsaan AS telah mendirikan pusat perintah komunikasi suara seterusnya berjaya menghantar pasukan penyelamat ke tempat kejadian dalam masa yang singkat melalui penggunaan komunikasi radio yang menggabungkan ke rangkaian yang berkongsi suara, video serta maklumat data.
Rangkaian komunikasi milik Pengawal Kebangsaan AS yang dikenali sebagai GuardNet berjaya disambungkan ke rangkaian-rangkaian radio pelbagai frekuensi yang dikendalikan beberapa agensi penguat kuasa tempatan seperti polis dan peronda lebuh raya.
Latihan tersebut berjaya memperlihatkan keupayaan membangunkan stesen-stesen pangkalan radio yang mampu menghubungkannya dengan rangkaian IP sehingga membolehkan wujud satu sistem komunikasi tanpa mengira jenis frekuensi.
JUICE berjaya membuktikan pasukan Pengawal Kebangsaan AS mampu bertindak-balas dengan pantas dalam keadaan kecemasan dan bertindak sebagai stesen penyambung pelbagai rangkaian yang selama ini beroperasi bersendirian.
Kejayaan tersebut memberi sinar baru dalam sesuatu operasi bersama di masa akan datang.
Latihan
Keberkesanan teknologi Cisco Systems turut diperlihatkan dalam latihan yang dinamakan Eksesais Black Pitch, melibatkan pasukan tentera dari negara-negara Australia, Singapura, Thailand dan Perancis.
Objektif latihan berkenaan adalah menguji tahap keberkesanan operasi bersama yang melibatkan banyak pihak.
Dalam latihan itu, Pusat Operasi Udara Bersama (CAOC) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), Glenbrook dijadikan markas operasi.
Teknologi Cisco Systems telah membolehkan anggota-anggota bertugas di CAOC berkomunikasi secara terus dengan juruterbang yang berada jauh beribu-ribu kilometer.
Keupayaan berhubung secara terus sedemikian amat penting dalam sesuatu operasi bersama kerana komander atau ketua operasi perlu berhubung dengan juruterbang untuk membuat keputusan serta-merta.
Sesungguhnya penggunaan IP dalam sistem komunikasi amat penting.
Sekiranya dulu masalah komunikasi menjadi cabaran utama dalam sesuatu operasi bersama, kini dengan adanya IP ia dapat diatasi.
IKLAN@UTUSAN
|