Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 31/05/2005
Dr. Mahathir kecewa dituduh gagal atasi rasuah

Dr. Mahathir kecewa dituduh gagal atasi rasuah

KUALA LUMPUR 30 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa apabila ada pihak yang mempertikaikan pentadbirannya dalam menangani rasuah semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.

Bekas Perdana Menteri itu yang bersara pada 2003 berkata, beliau pernah menangis dan merayu sambil disaksikan rakyat Malaysia untuk menggambarkan betapa sedihnya amalan rasuah yang boleh menjadi barah dalam kerajaan dan parti.

``Sama ada saya tidak buat apa-apa dulu, anda tahu. Saya sampai menangis, baca doa, macam-macam saya buat, saya suruh jangan terlibat dengan rasuah.

``Kerana ini soal pembentukan nilai hidup yang mulia bukan soal tangkap. Anda boleh tangkap tapi berapa banyak kes yang boleh dibuktikan di mahkamah, saya tengok cuma dua tiga kes sahaja yang boleh dibuktikan di mahkamah,'' jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menyifatkan dakwaan akhbar The Sunday Star semalam seolah-olah beliau terbabit sama dalam gejala rasuah dan tak perlu bercakap mengenai jenayah itu sebagai tidak benar.

``Apa yang dilaporkan di dalam Star, seolah-olah menuduh saya tidak buat apa-apa berkenaan rasuah semasa saya jadi Perdana Menteri. Saya fikir ini satu cara nak tahan saya, nak tutup mulut sayalah,'' kata beliau pada sidang akhbar khas di kediamannya di Seri Kembangan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan kolum On The Beat akhbar itu bertajuk `Meningkatkan Tekanan Melawan Rasuah'.

Rencana itu mendakwa Dr. Mahathir tidak mengambil kesempatan semasa 20 tahun sebagai Perdana Menteri untuk memperhebatkan kempen menangani rasuah.

Dengan kepimpinannya yang kuat, kuasa dan pengaruhnya dalam UMNO, beliau melepaskan peluang untuk membawa pembaharuan termasuk penguatkusaan undang-undang yang efektif menentang rasuah, kata penulis itu lagi.

Ketika ditanya amalan rasuah di dalam parti sejak beliau melepaskan jawatannya, secara jujur Dr. Mahathir berkata suasana semakin teruk.

``Sekarang ini politik wang teruk, lepas perhimpunan UMNO mereka (ahli-ahli) tidak bercakap pasal amanat Presiden, cuma bercakap orang ni bagi sekian, orang itu sekian. Saya tahu orang yang membiayai sesetengah orang, malah dalam pilihan raya baru-baru ini sekumpulan wakil menawarkan RM50,000 untuk beli undi. Mereka buat tawaran terbuka. Semua orang tahu, keadaan makin buruk,'' katanya.

Beliau yang ternyata sedih dengan dakwaan akhbar tersebut berkata, gejala rasuah susah untuk dibuktikan kecuali ada seseorang yang mengaku dan memberi bukti.

Dr. Mahathir berkata, semasa menjadi Perdana Menteri beliau menekankan budaya menolak rasuah di dalam UMNO kerana percaya ia lebih berkesan.

Apabila rasuah menjadi budaya katanya, ia akan membantutkan pembangunan dan akhirnya boleh menghancurkan negara.

``Dulu ada pemilihan di dalam UMNO, pemilihan untuk Timbalan Presiden, semua orang kata setiap ketua bahagian dapat duit terutamanya di Sabah. Saya tanya mereka (ada dapat duit tak), mereka cakap tidak. Semua tak mengaku, kalau tak ada bukti, kita tak boleh nak dakwa,'' kata beliau.

Dr. Mahathir juga berkata, beliau pernah menghentikan pertandingan di dalam UMNO kerana bimbang ahli-ahli parti akan ketagih dengan duit.

Walaupun orang Melayu kini telah memiliki duit yang banyak katanya, tetapi ia digunakan untuk tujuan yang salah.

Beliau berkata, semasa beliau sebagai Presiden UMNO, ahli-ahli parti pernah menolak pemimpin kerana memberi rasuah wang, tetapi kini keadaan sudah terbalik.

Kata beliau, orang yang menerima rasuah akan memberitahu dari siapa mereka mendapatkannya tetapi tidak akan melaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana yang memberi rasuah itu berkuasa dan boleh menghancurkan perniagaan mereka.

``Jadi nak tuduh saya tak buat apa-apa masa saya jadi Perdana Menteri tak betullah. Kalau nak (tulis) kena tengok dululah rekod, ada juga wakil rakyat, ada juga Exco yang kena tangkap, kena hukum masa saya jadi Perdana Menteri.

``Tapi saya tak sebutlah perkara-perkara tu (melawan rasuah). Pada saya yang penting ialah anda menolak budaya terima rasuah sebagai perkara biasa,'' katanya.

Dalam ruangannya semalam, penulis itu juga menulis: "Rakyat Malaysia akan tetap berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana kemajuan ekonomi yang dibawa, bagaimanapun satu perkara yang mereka tidak berpuas hati ialah pengenalan tender yang dirundingkan yang kurang akauntabiliti dan keterbukaan. Malah tidak wujud tender langsung."

Menjawab perkara itu, Dr. Mahathir berkata, masalahnya ialah sekiranya tender itu terbuka, orang Melayu dan Bumiputera tidak akan dapat langsung.

``Bagaimanapun ia tidak pernah diberi kepada orang yang sama sepanjang masa, tetapi kepada orang yang berkebolehan dan terbukti dapat melaksanakannya. Kami uji mereka tetapi bukan untuk satu orang sahaja tetapi kepada ramai.''

Beliau berkata, kerajaan cuba memberikan kontrak kepada kontraktor Kelas F untuk membina makmal komputer bagi sekolah-sekolah, tetapi ``anda tengok apa yang berlaku, mereka tidak ada pengalaman, semuanya gagal.''

``Saya sering menyatakan bahawa kita tidak boleh memerangi rasuah jika ia sudah menjadi budaya kita. Saya tidak memperkatakan mengenai tindakan kerajaan,'' katanya.

Rabu lepas dalam satu sesi soal jawab bersama peserta satu ceramah di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Dr. Mahathir berkata: ``Tidak seperti dulu amalan rasuah dilakukan secara sembunyi kini amalan seumpama itu semakin dibuat secara terang-terangan dan begitu pantas menjadi budaya dalam UMNO.''

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN