Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MUKA HADAPAN

ARKIB : 14/05/2005
3 skop tingkat PDRM -- Antara 125 perkara utama cadangan Suruhanjaya Diraja

3 skop tingkat PDRM -- Antara 125 perkara utama cadangan Suruhanjaya Diraja


MOHAMED Dzaiddin Abdullah menunjukkan Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Laporan itu akan diedarkan kepada umum mulai Isnin ini. - Gambar HALIM KHALID.


KUALA LUMPUR 13 Mei - Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tiga skop utama yang perlu diberi perhatian untuk melaksanakan proses meningkatkan perkhidmatan PDRM.

Tiga skop tersebut adalah penurunan kadar kes jenayah, tanggapan tinggi orang ramai terhadap masalah rasuah dalam PDRM dan isu pencabulan hak asasi manusia.

Ia merupakan perkara utama dalam 125 cadangan yang akan dikeluarkan oleh suruhanjaya itu Isnin ini.

Pengerusi suruhanjaya itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah berkata, laporan itu juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) melalui sebuah akta Parlimen.

Menurutnya, suruhanjaya itu bertujuan memperkukuh penyemakan dan akan membantu memastikan kepatuhan dikuat kuasa dengan ketat dan ketidakpatuhan dikesan dengan segera.

Badan bebas itu akan bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan agensi kerajaan yang lain.

``IPCMC adalah perlu sebagai sebuah badan luar yang bebas bertujuan menerima aduan dan mencegah salah laku dalam PDRM.

``Bagi anggotanya pula, dicadangkan pelantikan tujuh pesuruhjaya bagi tempoh tiga tahun dengan pengerusinya dilantik di kalangan mereka yang mempunyai latar belakang perundangan atau kehakiman.

``Bagaimanapun, polis atau bekas polis tidak boleh dilantik menganggotai IPCMC.

``Malah kami sudah merangka satu rang undang-undang yang perlu diluluskan oleh Parlimen jika cadangan kami ini diterima,'' katanya pada sidang akhbar di pejabat suruhanjaya berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah setiausaha suruhanjaya itu yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Hamzah Md. Rus.

Beliau bercakap kepada pemberita khusus bagi menerangkan secara am kandungan laporan suruhanjaya yang diterbitkan sebanyak tiga jilid termasuk laporan utama setebal 433 muka surat, jilid tambahan dan ringkasan eksekutif masing-masing setebal 25 dan 149 muka surat.

Laporan versi bahasa Malaysia itu akan diedarkan Isnin ini, manakala versi bahasa Inggeris akan diedarkan mulai Khamis. Mana-mana pihak yang menerbitkannya kepada umum sebelum hari itu, akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Selain dipengerusikan oleh Mohamed Dzaiddin, suruhanjaya berkenaan dibantu oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar sebagai Timbalan Pengerusi dan 14 anggota suruhanjaya.

Anggota-anggota suruhanjaya itu diberi tempoh 15 bulan dari tarikh tauliah dikeluarkan pada 4 Februari tahun lalu untuk menyampaikan laporan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Cadangan penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Disember tahun lalu ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Suruhanjaya itu ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan integriti PDRM yang pada masa ini dicemari dengan pelbagai insiden yang menggugat kewibawaannya.

Ia juga akan mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil menjadikan PDRM sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati.

Mohamed Dzaiddin berkata, selama ini orang ramai bercakap dengan suruhanjaya berkenaan cara untuk mereka membuat aduan mengenai polis dan berikutan itu, suruhanjaya tersebut mendapati penubuhan IPCMC adalah cadangan yang baik.

``Ia adalah strategi untuk mekanisme yang dilakukan di beberapa negara komanwel yang mempunyai common law yang sama seperti Hong Kong, Singapura, Australia dan United Kingdom.

Selain itu, ujar beliau, suruhanjaya itu juga mendapati banyak anggota polis terlatih melakukan kerja-kerja pentadbiran yang boleh dilakukan oleh kakitangan awam dan ini dianggap sebagai merugikan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN