ARKIB : 24/03/2005
80,000 graduan dilatih -- Skim Latihan Siswazah Menganggur diwujudkan semula
PUTRAJAYA 23 Mac - Kerajaan mengambil langkah drastik `mengerahkan' kesemua 80,000 graduan menganggur di seluruh negara menjalani latihan kemahiran selama setahun bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan.
Sehubungan itu satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mengesan graduan-graduan menganggur ini.
Pasukan khas ini yang diketuai oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Yusof Abu Bakar akan mengguna pakai model di Australia yang ternyata berjaya menangani masalah isu siswazah menganggur di negara itu.
Di Australia, graduan-graduan yang tidak bekerja akan dicari dan dihantar ke kolej-kolej kemahiran untuk diberi nilai tambah.
Hasilnya 90 peratus graduan itu mendapat pekerjaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh ketika mengumumkan perkara ini kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini, berkata:
``Kita akan tiru model itu dan cuba laksanakan di Malaysia. Mungkin dengan cara ini kita dapat mengurangkan secara berperingkat jumlah graduan menganggur.''
Katanya, graduan menganggur itu akan ditempatkan di kolej-kolej komuniti dan politeknik di seluruh negara.
Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan supaya Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) diwujudkan semula bagi menangani 80,000 graduan yang masih gagal mendapatkan pekerjaan.
Perdana Menteri menganggap skim itu masih merupakan mekanisme terbaik bagi menangani masalah tersebut kerana sejak diperkenalkan pada 2001, 80 peratus pelajar yang mengikutinya mendapat pekerjaan.
SLSM yang dilaksanakan hasil kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dihentikan pada Februari tahun lalu setelah Kementerian Sumber Manusia menghadapi masalah kewangan apabila peruntukan bagi skim itu habis digunakan.
Kertas kerja mengenai cadangan skim itu akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn pada mesyuarat Kabinet, dua minggu lagi.
Menurutnyae lagi, ``Pasukan khas ini akan mencari graduan-graduan menganggur dan meneliti latar belakang kelulusan akademik dan apa yang diperlukan oleh mereka sebelum ditawarkan kursus-kursus kemahiran.
``Dengan itu kita dapat melihat cara untuk memberi nilai tambah supaya mereka laku di pasaran pekerjaan atau kita dapat membantu mereka untuk menjadi usahawan atau peniaga.''
Bagi mencapai matlamat tersebut, katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Sumber Manusia untuk merangka kurikulum, tempoh kursus dan bentuk kemahiran yang boleh ditawarkan.
Ditanya program-program kemahiran yang akan ditawarkan di kolej-kolej komuniti dan politeknik untuk graduan tersebut, Shafie berkata, perkara tersebut akan dibincangkan oleh ketiga-tiga kementerian itu.
Katanya, setiap calon yang akan ditempatkan di kolej komuniti atau politeknik akan diberikan ujian psikologi untuk mengenal pasti personaliti, minat dan kecenderungan masing-masing.
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









