|
![]() |
|
ALLAHYARHAM Muhammad Zaki Ayub dan isterinya, Nurul Hayati Bohari yang mati dibunuh bersama dua anaknya di Kaherah, Mesir. |
KUALA LUMPUR 17 Okt. - Seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar ditikam bertubi-tubi sehingga mati manakala isterinya dicederakan sebelum dibakar hidup-hidup bersama dua anak mereka di sebuah rumah di Bandar Haiyu-Syair, Kaherah, Jumaat lalu.
Identiti keluarga malang itu disahkan sebagai Muhammad Zaki Ayub, 27; isterinya, Nurul Hayati Bohari, 27 dan anak-anak mereka Siti Maryam Hafizah, tiga tahun tiga bulan, dan Muhammad Muazz Hafiz, 11 bulan.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah, Wan Bakar Wan Dagang ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian tersebut.
Mayat Mohd. Zaki ditemui di ruang tamu rumahnya dengan tiga kesan tikaman di belakang badan, dua di dada, satu di dahi dan beberapa kesan dikelar di leher.
Mayat isterinya yang turut dicederakan dijumpai rentung bersama dua orang anak mereka di salah sebuah bilik rumah kediaman tiga bilik pasangan tersebut.
Mohd. Zaki merupakan pelajar tahun akhir jurusan syariah Islamiah dan isterinya pula bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kedua-dua mereka berasal dari Sabak Bernam, Selangor.
Mohd. Zaki juga difahamkan seorang peniaga dan mempunyai dua restoran dan sebuah kafe siber di sana.
Berdasarkan siasatan awal polis mendapati, Mohd. Zaki yang menjadi sasaran utama penceroboh berdasarkan kesan tikaman pada anggota badannya.
Mohd. Zaki yang dipercayai bergelut dengan penceroboh kemungkinan cuba diselamatkan oleh isterinya.
Bagaimanapun, penceroboh yang dipercayai lebih daripada seorang, mencederakan isteri mangsa dan mengheretnya ke sebuah bilik bersama anak-anak mereka dan dibakar.
Pembunuhan kejam dan ngeri itu hanya disedari oleh jiran selepas bilik rumah tersebut terbakar.
Pihak bomba yang menyangka ia adalah kebakaran biasa kemudian mendapati terdapat satu mayat lelaki di ruang tamu dan tiga lagi rentung di dalam bilik.
Wan Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan oleh polis.
``Kita masih menunggu laporan polis tetapi berdasarkan siasatan awal polis tidak menolak ia adalah kes jenayah yang diandaikan bermotifkan dendam dan rompakan.
``Malah, polis yakin kejadian tersebut dilakukan lebih daripada seorang,'' katanya.
Ini kerana, menurut beliau, hasil siasatan mendapati wang mangsa sebanyak RM30,000 di dalam rumah tersebut hilang.
Katanya, mayat sekeluarga itu dihantar ke Hospital Saida Zainab untuk bedah siasat.Utusan Malaysia difahamkan, polis mengandaikan kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika orang ramai sedang sibuk untuk bersembahyang Jumaat pada pukul 11.40 pagi waktu tempatan.
Disebabkan itu, kejadian tersebut tidak disedari oleh jiran sehingga ternampak kebakaran di bilik rumah mangsa.
Bagaimanapun, Wan Bakar memberitahu, polis berjaya menahan seorang pemuda warga Indonesia yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Pemuda itu juga dikatakan seorang peniaga dan pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah di sana.
Tambahnya, jenazah keluarga tersebut akan dikebumikan di kawasan tanah perkuburan Malaysia di sana pada selepas Asar kira-kira pukul 10 malam ini waktu Malaysia.
``Pengkebumian jenazah-jenazah itu sudah pun mendapat persetujuan oleh keluarga mereka,'' ujarnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|