|
ABDULLAH Ahmad Badawi memperkatakan sesuatu dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO dan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional sambil diperhatikan oleh ketiga-tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) membuat pengisytiharan harta sebelum akhir bulan depan.
Abdullah berkata, pengisytiharan itu perlu dibuat meliputi harta-harta yang dimiliki oleh wakil rakyat serta ahli keluarga masing-masing.
``Pengisytiharan harta ini melibatkan harta-harta yang dimiliki sekarang dan perlu dilakukan dua tahun sekali,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Abdullah menegaskan, semua wakil rakyat BN perlu mematuhi kod etika wakil rakyat yang kini pada peringkat draf akhir.
Katanya, draf akhir kod etika itu akan dibincang untuk diluluskan pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Beliau juga memberitahu, wakil rakyat perlu menghantar laporan aktiviti tiga bulan sekali untuk diteliti oleh pemimpin-pemimpin tertinggi BN.
``Bagi ahli Parlimen, laporan aktiviti perlu dihantar kepada Perdana Menteri.
``Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pula mesti menghantar laporan aktiviti kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri,'' katanya.
Perdana Menteri yang juga Pemangku Presiden UMNO menegaskan pentingnya wakil rakyat bergerak dengan cepat untuk memberi perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat dan negara, sekali gus memenuhi manifesto BN.
Katanya, wakil rakyat perlu memberi perhatian kepada kepentingan rakyat, bekerja untuk rakyat dan negara serta tidak menyalahgunakan kuasa.
Beliau juga melahirkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kepada parti-parti komponen yang bekerja keras memastikan sokongan besar rakyat untuk calon-calon BN.
Abdullah turut gembira dengan kerjasama baik yang terjalin dalam BN sejak dari peringkat awal persediaan pilihan raya iaitu semasa penentuan pengagihan kerusi, penentuan calon-calon dan semasa kempen pilihan raya umum baru-baru ini.
``Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana tidak menimbulkan kekacauan atau terdapat calon-calon yang mengancam untuk mengundurkan diri serta tidak ada sesuatu yang boleh melemahkan BN.
``Muafakat yang ada dalam BN meyakinkan rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang teguh dan melambangkan kerjasama yang mewakili pelbagai kaum, sekali gus akan mengukuhkan lagi kerajaan BN,'' katanya.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN.
Kedua-dua mesyuarat itu adalah yang pertama diadakan setelah BN mencapai keputusan cemerlang pada pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.
Beliau tiba di tanah air pukul 10 pagi ini sekembalinya daripada menunaikan umrah.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|