|
PUTRAJAYA 29 Dis. - Kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, suruhanjaya itu akan bertanggungjawab mengkaji semula perjalanan kerja serta mengemukakan cadangan-cadangan bagi meningkatkan keupayaan serta mutu anggota.
``Ia adalah untuk meletakkan PDRM sebagai sebuah pasukan polis yang dipercayai oleh masyarakat,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Pusat Persidangan Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Abdullah, ia juga bagi memastikan PDRM mempunyai keupayaan untuk mengendali tuntutan dan keperluan tugasan selari dengan peredaran zaman.
``Ia bertujuan memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti agar pasukan polis dapat berdiri atas prinsip pengurusan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.
``PDRM sebagai sebuah pasukan yang berurusan dengan orang ramai perlu arif tentang hak-hak asasi manusia dalam menjalankan tugas dan berurusan dengan anggota masyarakat.
``Isu-isu seperti kekerasan polis, layanan yang tidak memuaskan, gejala rasuah dan isu-isu negatif yang lain perlu dihapuskan,'' katanya.
Persidangan itu dihadiri oleh kira-kira 150 pegawai atasan polis termasuk Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Omar.
Perdana Menteri berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan baginda.
Skop utama suruhanjaya tersebut kata beliau, meliputi peranan dan tanggungjawab polis dalam melaksana undang-undang negara dalam konteks semasa, syarat dan terma perkhidmatan pegawai dan anggota termasuk pengambilan, pembangunan sumber manusia dan latihan.
Ia juga katanya, meliputi etika dan prosedur kerja pegawai dan anggota PDRM.
``Suruhanjaya tersebut akan memodenkan semua aspek operasi dan kerja polis termasuk mengambil kira teknik-teknik kepolisan terkini serta isu hak asasi manusia termasuk isu yang melibatkan kaum wanita.
Sementara itu, pada sidang akhbarnya selepas itu, Abdullah berkata, perkara itu sebelum ini dibincangkan oleh beliau dengan beberapa pihak termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman dan Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Aseh Che Mat.
``Segala butiran berkaitan penubuhannya sedang dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dipersembahkan kepada Seri Paduka untuk diperkenan,'' katanya sambil menjelaskan bahawa barisan anggota suruhanjaya diraja itu juga akan diumumkan kemudian.
Abdullah berkata, suruhanjaya itu merupakan sesuatu yang berbeza dengan Suruhanjaya Pasukan Polis yang telah lama diwujudkan, yang antara lain berhubungkait dengan kenaikan pangkat dan kes-kes disiplin melibatkan anggota PDRM.
Ditanya sama ada suruhanjaya baru itu akan memberikan perhatian kepada aspek gaji anggota polis, Abdullah berkata, badan itu bukanlah suruhanjaya gaji.
Mengenai komitmen kerajaan dalam memperbaiki PDRM seperti yang dicadangkan melalui penubuhan suruhanjaya diraja itu, beliau berkata, ia bukan bertujuan untuk mencari populariti.
``Ini bukan merupakan tindakan untuk populariti saya, bukan. Ini satu tindakan yang perlu diambil. Kita telah bincang dan inilah langkah yang kita fikir yang terbaik untuk melihat peranan polis secara total.
``Kita tak hanya nak perbaiki secara ad hoc, di situ sedikit, di sini sedikit, pinda sikit undang-undang. Kita tak nak buat begitu,'' katanya.
Pada masa yang sama dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengingatkan PDRM supaya dapat mengekalkan kepercayaan rakyat.
Ini, katanya boleh dilakukan jika tindakan mereka memberi tumpuan kepada tiga perkara terutama perubahan nilai dan cara pemikiran, meningkatkan keberkesanan bekerja dan meningkatkan akauntabiliti serta rasa tanggungjawab para pemimpin polis terhadap prestasi pasukan dan anggota masing-masing.
``Kita hanya boleh mendapat hasil yang konkrit, seperti pengurangan jenayah, pengurangan rasuah, perkhidmatan mesra rakyat dan sebagainya, sekiranya semua ketua pasukan benar-benar inginkan pembaharuan dan sanggup melaksanakannya melalui konsep kepimpinan melalui teladan,'' katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|