VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 September 2014 / 5 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 28/09/2002

KMM: Bekas pensyarah ditahan -- Lapan lagi anggota kumpulan diburu di tiga negara - Norian


.


Oleh: SHARILFUDDIN SAARI dan HARADIAH SHAH
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai hari ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kumpulan militan KMM.

Lapan orang lagi anggota kumpulan tersebut yang terdiri daripada golongan profesional dan dipercayai berada di Indonesia, Thailand dan Singapura sedang diburu polis.

Bekas pensyarah terbabit, Wan Min Wan Mat, 42, ditangkap pada pukul 9.30 pagi di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau merupakan antara yang paling dikehendaki kerana pembabitannya di dalam kumpulan tersebut dan menjadi ketua kumpulan militan KMM cawangan Johor.

Wan Min berkelulusan Sarjana (Pembinaan) dari Universiti Manchester, United Kingdom (UK).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai memberitahu sidang akhbar di Bukit Aman di sini bahawa mereka yang diburu pula ialah:

* Profesor Madya Dr. Azahari Husin, 45, berkelulusan Ph.D dalam Statistik Apraisal Model, University of Reading, UK dan juga bekas pensyarah;

* Zulkepli Marzuki, 34, akauntan;

* Noor Din Mohd. Top, 33, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari UTM dan bekas Penyelia Kanan, Sekolah Islam Luqmanul Hakiem, Johor Bahru;

* Shamsul Bahri Hussein, 36, berkelulusan Sarjana Mekanik Gunaan (pengkhususan dalam mekatronik) dari University of Dundee, UK dan bekas pensyarah.

* Abdul Razak @ Farouk Abdul Hamid, 35, kakitangan Sekolah Islam Lukmanul Hakiem, Johor Bahru;

* Amran @ Henry Mansor, 38, pengarah syarikat;

* Zulkifli @ Musa Abd. Hir, 36, bekas jurutera; dan

* Mohd. Rafi Udin, 36, jurujual.

Norian berkata, Wan Min pernah menerima latihan ketenteraan di selatan Filipina pada tahun 1996 dan di Afghanistan pada tahun 2000.

Wan Min menghilangkan diri dari UTM selepas menyedari tiga rakan beliau yang turut disyaki bergiat dalam KMM ditahan polis pada Januari lepas.

Ketiga-tiga mereka ialah Roshelmy Mohamed Sharif, Idris Salim dan Dr. Abdullah Daud yang kini ditahan di Kamunting, Taiping selama dua tahun mengikut ISA.

Sementara itu, kata Norian, polis menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 bagi sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya salah seorang daripada lapan orang yang dikehendaki itu.

``Polis sehingga kini meletakkan senarai yang dikehendaki dalam kumpulan militan KMM sejumlah lapan orang,'' katanya.

Penangkapan terbaru itu menjadikan jumlah tahanan ISA yang terbabit di dalam aktiviti militan KMM setakat ini sebanyak 63 orang. Kesemua mereka ditahan di bawah akta yang sama.

Sebelum ini, polis telah melancarkan tiga fasa penangkapan yang bermula sejak KMM dikesan mahu menjatuhkan kerajaan secara kekerasan atas nama jihad.

Sebanyak 25 orang diberkas dalam operasi fasa pertama dari 29 Mei hingga 9 November tahun lalu manakala 23 orang ditangkap dalam operasi fasa kedua iaitu dari 9 Disember tahun lalu hingga 21 Januari lepas.

Polis kemudian menangkap 14 orang dalam fasa ketiga iaitu pada 17 dan 18 April lepas.

Ia melibatkan 12 orang warga tempatan termasuk isteri kepada salah seorang tahanan ISA kerana terbabit dalam kumpulan milatan KMM Yazid Sufaat, 38. Dua lagi ialah warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR).

Ditanya adakah kumpulan militan KMM mempunyai hubung kait dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Singapura, Norian berkata, mereka menerima arahan yang sama iaitu daripada Hambali @ Nurjaman @ Riduan Isamuddin dan Abu Bakar Bashir.

Norian meminta ahli keluarga anggota kumpulan militan KMM yang sedang dicari itu agar menggalakkan mereka supaya menyerah diri.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:08
Isyak 8:17


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.