VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 06/09/1999

Cabaran editor wanita


ROSNAH MAJID.


PERSIDANGAN Kebangsaan Editor-Editor Wanita sempena ulang tahun majalah Wanita ke-30 menepati sasaran melahirkan lebih ramai editor wanita berwibawa dengan mengambil pendekatan menjurus kepada keseimbangan dalam kerjaya, rumah tangga dan wawasan terhadap pembentukan masa depan wanita dan generasi negara masa depan.

Ini bermakna setiap editor wanita tidak perlu lagi membebel dalam tulisan mereka sebaliknya membekalkan pembaca dengan ilmu, petua, dan wadah terkini untuk pembaca mempraktikkan isi penulisan secara lebih berkesan.

Cabaran alaf baru menunggu editor wanita sejajar dengan matlamat pergerakan menuju era multimedia di mana majalah-majalah berperanan mendidik masyarakat memahami dan membimbing masyarakat terutama generasi muda supaya tidak mengambil sikap negatif terhadap "laluan Lebuh Raya Siber.''

Saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz yang mencadangkan media massa melaksanakan satu program dipanggil Projek 2020 tidak harus dipandang ringan memandangkan cadangan tersebut cukup bernas dan logik dimanfaatkan.

Menurut beliau projek yang dicadangkan itu akan mengandungi program-program yang menjurus kepada memperkukuhkan landasan masyarakat dan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Cadangan beliau dirasakan bersesuaian selaras dengan proses pembangunan masyarakat dalam era tahun 2000 kerana ia lebih kompleks tetapi jika dapat dipastikan setiap generasi mewariskan ciri-ciri asas masyarakatnya baik dan kukuh dengan generasi pengganti maka masyarakat tahun 2020 akan benar-benar menjadi masyarakat yang membanggakan.

Berasaskan cadangan tersebut terbukti peranan dan tanggungjawab wanita secara realitinya tidak payah diperkatakan lagi kerana pengisian dalam akhbar dan majalah sehingga kini memenuhi keperluan yang dikehendaki pembaca.

Apa yang harus dilakukan sekarang hanyalah mendalami pengisian dan mematangkan kandungan di mana maklumat biarlah tepat, berinovasi, padat dan boleh merangsang minda serta berkesan untuk pembaca daripada masa ke semasa.

Pembentang kertas kerja bertajuk: Majalah Untuk Wanita, Apa Keistimewaannya? Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya dan Dr. Hamima Donna Mustafa (Universiti Sains Malaysia) sependapat editor wanita masakini sudah matang dan mampu mengeluarkan idea-idea secara sofistikated, bijak, sihat mindanya dalam tulisan mereka.

Menurut mereka, selain menambahkan pendedahan kepada isu-isu evergreen di bidang fesyen, kesihatan, hubungan manusia serta ekonomi, majalah-majalah wanita haruslah memberi perhatian dan ruangan mengenai isu wanita yang walaupun terlebih fokus tetapi sebenarnya masih menyentuh pemikiran dan kedudukan wanita di mana mereka berada.

Dalam konteks ini mereka menekankan peranan wanita yang lahir daripada sifat tabiinya, penyayang, prihatin dan sukakan keamanan (peacemaker). Wanita juga adalah ejen penstabilan pembangunan masyarakat untuk anak-anak, keluarga, warga tua, politik, sosial dan alam sekitar, tempat kerja demi masa depan kesejahteraan negara dan dunia.

Dr. Hamima Donna menyentuh tentang editor era 70-an dan 80-an yang menggunakan pengalaman diri sendiri sebagai bahan untuk diimplimentasikan sebagai tulisan untuk disalurkan kepada pembaca, di mana secara tidak langsung kaedah ini mendekatkan mereka dengan pembaca yang boleh dikongsi sebagai iktibar dalam kehidupan seharian mereka.

Sehubungan itu, editor wanita dinasihatkan supaya jangan menampilkan wanita sebagai bahan berdasarkan pandangan dari sudut seks semata-mata tetapi lebih kepada kemampuan minda dan kredibiliti mereka selain menekankan bahan-bahan kebajikan kanak-kanak dan orang-orang tua.

Topik Kementerian Dalam Negeri dan Sensitiviti penerbitan juga mendapat perhatian serius para peserta persidangan. Dua pembentang kertas kerja Jalil Ali (Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf, dan Tengku Mahmud Tengku Ismail (KDN) memberi ceramah yang cukup bernas dan panjang lebar mengenai tajuk yang dibincangkan.

Rumusan yang diperoleh cukup memberangsangkan. Tengku Mahmud telah menarik perhatian peserta terhadap kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa merasmikan Kompleks Sri Utusan pada 18 Julai 1998 yang antara lain beliau berkata:

"Akhbar bertanggungjawab membentuk pemikiran rakyat dan pemimpin bagi mempertahankan bangsa dan negara. Akhbar tidak patut meniru media Barat di mana budaya barat bukannya budaya kita.''

Menurut Tengku Mahmud, KDN memberi kebebasan kepada pengamal media tetapi kebebasan tersebut adalah tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh KDN dan akta. Oleh yang demikian setiap pihak mesti bertanggungjawab dalam pembentukan minda generasi negara.

Profesor Madya Dr. Asiah Sarji, Pensyarah di Jabatan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kertas kerjanya bertajuk: Wanita Dalam Dunia Komunikasi Di Malaysia: Peranan, Sumbangan Dan Cabaran: Analisis Penerokaan Menekankan Dua Konsep Iaitu Peranan Dan Komunikasi.

Konsep peranan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada tanggungjawab dan tingkah laku. Peranan menurut beliau terbahagi kepada tiga iaitu peranan fitrah, sosial dan hukum. Peranan bersifat fitrah adalah seperti peranan yang dimainkan oleh haiwan atau sebarang penghidupan lain yang bukan manusia dalam menguruskan kehidupan harian mereka.

Contohnya, ibu berperanan mengandung, melahir dan memelihara anak, si bapa berperanan memberikan perlindungan, keselamatan dan makanan. Sementara peranan bersifat sosial adalah peranan yang dipelajari, diberi atau ditentukan sama ada secara formal atau tidak. Peranan seumpama ini sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran, sementara peranan bersifat hukum pula adalah peranan yang ditetapkan, sekiranya tidak dilakukan denda atau hukuman dikenakan.

Ketiga-tiga konsep inilah (fitrah, sosial, dan hukum) meletakkan wanita di tengah-tengah, di antara peranan fitrah, sosial dan hukum. Ketiga-tiga peranan inilah juga yang menghambat minda dan pergerakan wanita Malaysia dan kebanyakan negara membangun di kurun ke-20 ini.

Sehubungan itu wanita hari ini dan masa depan wajar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap tiga aspek peranan iaitu fitrah, hukum dan sosial.

Dr. Asiah menyarankan agar diwujudkan pusat penyelidikan wanita dan media segera sama ada di institusi pengajian tinggi mahupun sebagai satu badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengubah persepsi peranan wanita yang stereotaip wujud dalam pemikiran masyarakat.

Aisha Rashid dalam kertas kerjanya pula menyentuh tentang wanita yang memainkan peranan penting dalam komunikasi kerana ia dikaitkan dengan kelembutan serta sikap terbaik wanita termasuklah prihatin yang terperinci yang tidak dimiliki oleh lelaki dan pernah satu ketika dulu dianggap sebagai "penyeri majlis''.

Sifat wanita adalah memimpin, mengurus, mengawal dan menganalisis. Tokoh-tokoh lama membuktikan bahawa wanita amat berjaya dalam bidang ini. Penyelidikan rambang mendapati 40 peratus pegawai perhubungan awam di jabatan kerajaan manakala 78 peratus di sektor swasta adalah perempuan. Ini adalah pengiktirafan kepada wanita.

Sesuai dengan cabaran alaf baru, wanita kata Aisha harus melengkapkan diri mereka dengan dunia IT agar peranan wanita dalam bidang komunikasi lebih menyerlah dan tidak hanya di anggap sebagai kejelitaan dan kepetahan tanpa mempunyai kepakaran merancang strategi.

Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail dalam ucaptamanya bertajuk: Peranan Wartawan Dan Editor Wanita Dalam Membantu Mengatasi Masalah Sosial Dan Masyarakat mengesahkan bahawa wanita Malaysia hari ini telah maju dibandingkan 10 tahun lalu.

Wanita zaman ini lebih berfikiran terbuka, berwawasan dan memainkan peranan amat besar dalam pembangunnan sosial dan ekonomi selaras dengan pembangunan pesat negara.

Katanya peranan wanita dalam bidang ini bukan untuk menafikan peranan lelaki tetapi wanita secara fitrah dan semula jadi sememangnya berperanan besar dalam proses perkembangan sosial dan kependudukan negara sebagai ibu dan pendidik generasi muda.

Sehubungan itu, artikel-artikel tentang kesihatan, kemasyarakatan, kerjaya dan pendidikan perlu dicanai dengan sebaik-baiknya supaya menjadi wadah ilmu dan pengetahuan wanita dalam melaksanakan tanggungjawab dan kerjaya.

Menurut Zaleha, paradigma terbaru dalam komunikasi dan penyebaran maklumat dalam konteks kesejahteraan keluarga adalah perlu untuk menggantikan tabiat lama.

Ketua Wanita Bahagian Merbok, Rosnah Majid pula dalam kertas kerjanya bertajuk: Persediaan Editor Wanita Menghadapi Alaf Baru menekankan peranan editor wanita dan lelaki adalah sama, kemampuan editor atau wartawan diukur daripada kemampuan dan kemahiran dan kebolehan seseorang itu bukannya jantinanya. Apa yang penting media perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran selaras dengan matlamat dan wawasan negara maju pada tahun 2020.

Beliau menyarankan media perlu memberi maklumat secukupnya mengenai sektor industri maklumat (IT) yang merupakan sektor terkini yang mampu menjadi punca pendapatan ekonomi negara pada alaf baru.

Senator Datuk Zainuddin Maidin, pula mengatakan pada tahun 2000 bukan lelaki yang akan mendominasikan negara tetapi wanita. Pada masa yang sama alaf baru tiada membawa makna apa-apa tetapi manusia yang akan menukar dunia. Ini adalah cabaran kepada wartawan. Mereka seharusnya menjalankan tugas bagi mengubah sikap jumud masyarakat Melayu dan mengikis pemikiran silam semua pihak khususnya wanita.

Pada akhir persidangan tiga resolusi telah diluluskan iaitu: Tidak wujud diskriminasi atau pilih kasih antara lelaki dan wanita dalam media, sebaliknya masalah peribadi menjadi halangan untuk wanita memajukan diri dalam kerjaya dan bersaing dalam industri media.

Kedua: Wanita harus melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya agar menjadi role model dalam memenuhi sajian untuk pembaca alaf baru berbekalkan tanggungjawab dan keyakinan demi agama, bangsa dan negara.

Ketiga: Alaf baru merupakan cabaran terkini editor dan wartawan wanita, oleh itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu IT yang menjadi teras ekonomi negara masa depan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.