VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Julai 2014 / 3 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KHAS

ARKIB : 18/12/1998

Kondo kegunaan pengarah - Saksi

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, dua unit kondominium di Tivoli Villa, Bangsar dikhaskan untuk kegunaan para pengarah Multi Purpose Holdings Berhad (MPHB).

Pengurus Pengurusan Harta Bandaraya Development Berhad (BDB), Emily Kao Chung Meng berkata, unit-unit tersebut ialah 2-5-13 dan 2-5-14 yang bermakna unit No. 13 dan 14 di Tingkat 5, Blok 2 kondominium itu.

''Kunci-kunci bagi kedua-dua unit tersebut telah diserahkan kepada Datuk Lim Thian Kiat (T.K.Lim) sebaik sahaja unit-unit kondo itu siap diubahsuai pada tahun 1990,'' kata beliau.

Lim adalah Pengarah Urusan MPHB.

Emily, saksi ke-15 pihak pendakwa memberi keterangan itu dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail di hadapan Hakim Datuk S. Augustine Paul pada perbicaraan hari ke-29 kes Anwar hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan rasuah menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.

Menjawab soalan Gani, Emily mengakui bahawa BDB yang menguruskan tiga harta kediaman di Bangsar iaitu Sri Penaga, Bangsar Putri dan Tivoli Villa adalah anak syarikat MPHB, begitu juga dengan Magnum Corporation.

Magnum Corporation adalah bekas majikan rakan tenis Anwar, Datuk S. Nallakaruppan.

Gani: ''Pengarah manakah yang sering mengunjungi kedua-dua unit kondo di Tivoli Villa itu?''

Emily: ''Saya tidak tahu.''

Gani: ''Kenapa?''

Emily: ''Sebagai Pengurus Pengurusan Harta, saya sebenarnya menyelenggara harta itu secara umum bukannya unit-unit kondo itu sendiri.''

Gani: ''Siapa yang menyelenggara kedua-dua unit tersebut?''

Emily: ''Saya tidak pula tahu.''

Gani: ''Adakah pengarah-pengarah syarikat mempunyai kunci bagi kedua-dua unit itu?''

Emily: ''Setahu saya, kunci bagi unit-unit itu telah diserahkan kepada salah seorang pengarah.''

Gani: ''Siapa dia?''

Emily: ''Saya percaya beliau ialah Datuk T.K.Lim.''

Gani: ''Bila unit-unit kondo itu mula diduduki?''

Emily: ''Kedua-dua unit itu yang berada di blok 2 fasa pertama yang siap pada tahun 1990 dan mula diduduki pada tahun yang sama.''

Pada peringkat ini, Gani memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan terus menyoal saksi ini tetapi mengenai isu yang lain dan berharap ia dapat dimulakan esok.

Bagaimanapun, Hakim Augustine berkata, mahkamah tidak akan bersidang esok sebagai memberi peluang kepada kakitangan mahkamah dan juga semua umat Islam yang terlibat membuat persiapan menyambut puasa.

''Kita sambung pada hari Isnin dengan jadual perbicaraan yang diubah suai bagi memudahkan mereka yang berpuasa.

''Perbicaraan yang biasanya bermula pada jam 9.15 pagi akan dimulakan lebih awal pada jam 9 pagi dan berterusan hingga jam 2.30 atau 3 petang tanpa waktu rehat makan tengah hari,'' jelas beliau.

Sebelum Emily memberi keterangan, Gani telah memanggil saksi pendakwa ke-14, seorang tukang kunci, Wong Wai Fook.

Wong, 34, memberitahu mahkamah bahawa pada 10 Julai lalu, beliau telah diminta pergi ke Tivoli Villa untuk membuka kunci di dua unit kondo iaitu 2-5-13 dan 2-5-14.

Menurut saksi itu, apabila tiba di kondominium itu, beliau bertemu ASP Mohd. Rodwan dan Emily.

Kata Wong, beliau hanya berjaya membuka kunci di unit 2-5-13 selepas dua kali mencuba dan kemudian telah diminta membuka pula kunci salah sebuah bilik di dalam unit itu.

''Walaupun kunci bilik itu dapat dibuka tetapi daun pintunya tidak dapat dibuka dan pada pendapat saya, pintu itu telah diselak dari dalam,'' kata beliau.

Wong seterusnya berkata, beliau kemudian diminta membuka kunci di unit 2-5-14 dan ia dapat dilakukan dengan mudah.

Menjawab soalan balas peguam Christopher Fernando, saksi itu berkata, beliau tidak tahu sama ada bilik di unit 2-5-13 berpenghuni memandangkan ia diselak dari dalam.

Wong menjelaskan, beliau hanya mengagak pintu itu diselak kerana ketika daun pintu ditolak, kedengaran seperti bunyi selak di bahagian dalam.

Semasa pemeriksaan semula oleh Gani, Wong berkata, beliau tidak ingat sama ada tujuh atau lapan pegawai yang dilihatnya di kediaman itu mengambil apa-apa barang.

Gani: ''Kamu nampak mereka membawa keluar barang yang besar?''

Soalan Gani itu menyebabkan Fernando membantah sambil menyifatkan pendakwa cuba memasukkan perkataan-perkataan ke mulut saksi.

Gani: ''Saya bukan memasukkan perkataan ke mulut saksi tetapi sekadar bertanya sama ada beliau nampak mereka membawa barang yang besar.''

Lalu kata Hakim Augustine: ''Pendakwa meletakkan perkataan di keliling mulut saksi!''

Perbicaraan bersambung pada hari Isnin.

Oleh: FARIDAH HASHIM

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.