|
Kumpul tandatangan tiada kaitan tanding naib presiden
Kumpul tandatangan tiada kaitan tanding naib presiden
Oleh Rohani Ibrahim
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menafikan tindakannya mengumpul tandatangan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak minggu lalu mempunyai kaitan dengan hasrat beliau untuk bertanding jawatan naib presiden parti.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak benar dan hanyalah rekaan semata-mata.
''Saya sayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan langkah menandatangani surat jaminan taat setia adalah bagi mengesahkan jaminan yang diucapkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman sebelum ini.
''Ia tidak lebih daripada itu. Apa pula saya akan gunakan perkara itu untuk mendapatkan sokongan dalam pertandingan Naib Presiden UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Discovery Channel dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di pejabatnya di sini hari ini.
Jelas Mohd. Shafie, pemilihan akan diadakan Disember ini, sementara khabar angin bahawa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan lompat parti dikaitkan dengan impian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September.
Oleh itu, katanya, tandatangan jaminan taat setia itu tidak ada kena-mengena dengan pertandingan jawatan itu pada penghujung tahun ini.
''Saya tahu apa yang Anwar akan lakukan. Semasa hendak lawan dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba dulu pun dia mula dengan Sabah juga melalui kesan psikologi,'' katanya.
Mengenai Ahli Parlimen Sabah yang tidak menandatangani surat jaminan taat setia itu, Mohd. Shafie menjelaskan, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana ketika itu ada Ahli Parlimen yang berada di luar negara dan di kawasan Parlimen masing-masing.
|