|
Ikrar taat setia sudah memadai - Muhyiddin
Ikrar taat setia sudah memadai - Muhyiddin
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Janji Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) sudah memadai walaupun mereka enggan menandatangani surat jaminan taat setia, kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin.Beliau berkata, apatah lagi Ahli Parlimen terbabit telah berulang kali menyatakan kesetiaan kepada BN secara terbuka melalui media.
''Walaupun kita perlukan jaminan mereka, (cukuplah) kita pegang secara gentleman apa yang mereka sebutkan.
''Mereka sendiri telah nyatakan bahawa mereka bukannya barangan yang boleh dijual beli, mereka ada prinsip,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar sempena pelepasan peserta konvoi Hijrah Merdeka Amal 2008 anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen BN di Sabah seperti Datuk Anifah Aman, Datuk Abdul Ghapur Salleh, Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui dilaporkan tidak akan menandatangani surat jaminan kesetiaan yang diusahakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Mereka berpendapat langkah itu sebagai bentuk penghinaan seolah-olah tidak setia kepada parti dan mudah berpaling tadah.
Muhyiddin berkata, menandatangani surat jaminan taat setia itu adalah keputusan peribadi yang perlu dibuat secara sukarela.
''Saya fikir janganlah kita timbulkan hal-hal yang boleh mengakibatkan perasaan tidak berapa selesa mana-mana pihak,'' katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, isu lompat parti walaupun perlu ditangani dengan serius tidak wajar digembar-gemburkan.
Katanya, rakyat telah muak dengan isu dalaman parti, sebaliknya lebih berminat untuk mengetahui perancangan kerajaan dan hala tuju ekonomi negara.
|