|
Pakej Internet untuk peniaga
Pakej Internet untuk peniaga

|
PERMINTAAN terhadap penggunaan Internet oleh pengguna semakin meningkat kian hari.
|
KEPANTASAN dan kelancaran rangkaian Internet merupakan impian semua pengguna ketika melayarinya.
Menerusi pacuan rangkaian berkelajuan pantas, pelbagai aktiviti serta tugasan dapat dilakukan dengan lancar sekali gus berupaya mempertingkatkan taraf komunikasi sejagat.
Namun buat masa ini, sesetengah pengguna dan juga lokasi tertentu masih berhadapan dengan masalah mengecapi capaian Internet berkelajuan pantas.
Ini berpunca daripada beberapa faktor seperti kesesakan rangkaian, perkongsian jalur pada bilangan yang tinggi dan juga kemudahan infrastruktur yang terhad.
Tambahan, keperluan dan permintaan terhadap penggunaan Internet oleh pengguna semakin meningkat kian hari.
Justeru, seiring dengan usaha pelebaran serta penyediaan jalur lebar bagi seluruh negara, muncul Infolient Sdn. Bhd., satu lagi penggerak dan penyedia rangkaian perkhidmatan Internet jalur lebar terbaru di negara ini.
Syarikat tersebut yang sudah empat tahun beroperasi di negara ini menyediakan perkhidmatan seperti mewujudkan nilai tambah terhadap produk serta perkhidmatan Internet dan jalur lebar penyediaan rangkaian teknologi maklumat (IT) dan juga berkaitan perkidmatan telekomunikasi.
Baru-baru ini, Infolient telah mengambil inisiatif dalam mengumumkan pelebaran perkhidmatan Internet dengan melancarkan jalur lebar Infolient, produk terbaru seumpamanya di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan Infolient Sdn. Bhd. Eric Chong, pihaknya menyasarkan untuk memberikan penyelesaian dan perkhidmatan berkualiti secara konsisten bagi memenuhi kriteria pengguna.
“Jalur lebar Infolient merupakan pakej Internet mesra pengguna yang menawarkan titik akses di seluruh negara dengan dipacu pada kelajuan 1.0 Megabit (Mb) sesaat (MBps).
Efisien
“Selain menyediakan perkhidmatan rangkaian jalur lebar yang efisien, kami juga menawarkan perkhidmatan nilai tambah Internet yang dijangka mampu dimanfaatkan oleh para pengguna,’’ katanya ketika majlis pelancaran Jalur Lebar Infolient di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Chong, menerusi perkhidmatan tersebut beberapa perkhidmatan tambahan seperti `Buiness Life’ dan juga sistem pengurusan kandungan `LiveSite’ turut dibangunkan khusus bagi memenuhi permintaan gaya hidup digital masyarakat kini.
Aplikasi Infolient Buiness Life merupakan sebuah ekosistem perniagaan yang merangkumi aplikasi perniagaan yang boleh dipacu menerusi laman web.
Kelebihan aplikasi tersebut membolehkan pengurusan serta operasi bagi kegunaan pejabat kecil, pejabat kediaman (Small Office Home Office- SoHo) dan juga perniagaan kecil dan sederhana (SME) dapat dijalankan secara online dengan kadar yang minimum.
Sementara, LiveSite pula merupakan sebuah aplikasi khas yang membenarkan pengguna untuk membangunkan laman web mengikut cita rasa masing-masing sekali gus dipaparkan ke layar Internet.
Menerusi kemudahan tersebut, kumpulan sasar dijangkakan berupaya untuk melebarkan perniagaan dan perkhidmatan mereka ke ruang Internet dan secara tidak langsung mampu menawarkan perkhidmatan yang efisien kepada komuniti.
Sebagai permulaan, Infolient menawarkan pakej promosi istimewa dengan hanya mengenakan caj bulanan sebanyak RM79 dan sebarang bayaran tambahan adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan
Kini dengan kehadiran Infolient Broadband , isi rumah berpeluang untuk melayari Internet dengan pantas dan lancar di kediaman masing-masing sekali gus mempertingkatkan rangkaian perhubungan Internet di negara ini.
Maklumat mengenai perkhidmatan baru ini boleh didapati dengan melayari laman web www.infolient.com.
|