|
Suburkan demokrasi UMNO
Suburkan demokrasi UMNO
Oleh Md. Shukri Shuib

|
Abdullah Ahmad Badawi perlukan sokongan anggota Majlis Tertinggi dan ahli-ahli UMNO dalam menghadapi masalah dalam parti.
|
Pengumuman Presiden UMNO bahawa parti Melayu terbesar di negara ini yang juga teras kepada Barisan Nasional (BN) untuk tidak menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini dilihat adalah satu ‘keberanian’ yang wajar dilakukan oleh UMNO.
Secara rasionalnya, keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan UMNO adalah satu tindakan wajar serta ia dilihat mampu mengetepikan cakap-cakap atas angin mengenai ketidaksediaan pucuk pimpinan untuk berhadapan dengan proses demokrasi yang melibatkan pemilihan perwakilan dari bahagian UMNO terhadap siapa yang dirasakan layak memimpin parti teras kepada Barisan Nasional tersebut.
Jika diamati, kini, UMNO hanya mempunyai empat bulan sahaja lagi untuk berhadapan dengan mesyuarat dan pemilihan di lebih dari 20,401 buah cawangan pada 17 Julai hingga 24 Ogos 2008 ini, serta seterusnya pemilihan akan turut berlangsung di keseluruhan 191 bahagian pada 9 Oktober hingga 9 November 2008 - pastinya akan dilihat sebagai satu fenomena yang dinanti-nantikan oleh segenap pemerhati politik dalam dan luar negara.
Masa empat bulan ini seharusnya diisi dengan bukan sahaja cubaan melobi, tetapi yang penting sekali ialah para pemimpin tertinggi UMNO seharusnya turun ke padang berjumpa ahli parti yang perlu ‘ditenangkan’ semula setelah mengalami rencatan kesan tsunami politik 8 Mac yang lalu.
Apa yang pasti, empat bulan dari sekarang, dalam jangka masa Julai hingga Disember ini, UMNO akan melangsungkan satu lagi ‘pilihan raya’.
Kini disebabkan oleh luahan rakyat yang menidakkan ‘ketuanan’ UMNO serta prestasi buruk parti komponen BN di Semenanjung dengan kegagalan mendapatkan mandat dua pertiga, menjadikan Perhimpunan Agung UMNO 2008 ini sebagai satu ‘misi’ penting pasca PRU 12 yang sedang hangat dinantikan oleh segenap pelosok ahli UMNO dan juga rakyat secara umumnya.
Pemilihan yang ditunggu-tunggu akan pastinya berlangsung pada 16 hingga 20 Disember 2008 ini adalah cukup panas di mana, ‘hukuman’ rakyat terhadap BN dan juga UMNO pada PRU 12 yang lepas menjadi ibarat demam yang belum kebah. Justeru, perhimpunan agung kali ini memperlihatkan satu senario yang amat berbeza dari perhimpunan sebelum ini.
Hakikatnya kini, reaksi rakyat menerusi PRU 12 telah menjadikan UMNO sebagai pembangkang di lima buah negeri yang pada masa sama menjadikan ketua-ketua dan pemimpin UMNO di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri di ‘empat buah negeri pembangkang Pantai Barat’ bersama Kelantan ‘menganggur’.
Jika sebelum ini mereka mampu berperanan selaku ketua kerajaan, ahli-ahli DUN, ahli majlis kerajaan tempatan, ketua-ketua kampung, JKKK, imam serta juga ahli jawatankuasa qariah kini sedang berhadapan dengan suasana baru, di mana peranan mereka mungkin akan dinafikan oleh kerajaan pakatan pembangkang di negeri-negeri dahulunya ditadbir UMNO dan BN.
Jika kerunsingan segenap akar umbi dan kepimpinan pelbagai peringkat di negeri-negeri ‘tewas’ ini tidak di atasi segera, mungkin ia akan menyebabkan Perhimpunan Agung 2008 ini berhadapan dengan satu ‘protes’ dan ‘tunjuk perasaan’ ahli yang kini sedang ‘kecewa’ dan ‘demam’ diakibatkan oleh ‘protes’ rakyat secara senyap terhadap kepimpinan negara.
UMNO harus menyemarakkan semula semangat ahli-ahlinya dan juga rakyat secara umumnya dengan mengadakan pertemuan-pertemuan serta program-program pemimpin bersama rakyat untuk membolehkan rakyat dan ahli UMNO mendapat ‘amanat’ dari pucuk pimpinan secara langsung.
Usah hanya membincangkan soal UMNO secara tertutup bersama hanya Majlis Tertinggi serta melibatkan hanya pemimpin UMNO semata-mata, tetapi juga libatkanlah ahli-ahli di peringkat akar umbi di kampung-kampung dan di bandar dengan mengadakan pertemuan yang lebih kerap dan mesra.
Jika krisis 1987 dijadikan sandaran, ahli UMNO dan rakyat sendiri dapat melihat betapa seriusnya kepimpinan parti pada masa tersebut, dengan diterajui Tun Dr. Mahathir melakukan rapat umum bersama rakyat dan semestinya melibatkan ahli-ahli dan penyokong UMNO menerusi program Semarak yang melibatkan pelbagai aktiviti bersama rakyat termasuk gotong-royong, perhimpunan, penjelasan isu, pemberian bantuan serta pelbagai aktiviti yang mendekatkan Presiden dan kepimpinan UMNO bersama akar umbi parti. Akhirnya UMNO bertaut kembali semangatnya di kalangan ahli dan rakyat.
Jangan pula hanya mengambil peristiwa tragis dari pemilihan 1987 untuk menafikan demokrasi dalam UMNO.
UMNO perlu lebih terbuka dan janganlah bertindak tidak mengikut aspirasi ahli dan rakyat dengan cubaan-cubaan antidemokrasi menerusi pengawalan ketat peraturan bertanding dengan memperkenalkan sistem kuota yang jelas propemimpin sedia ada, dan juga mengadakan kawalan kempen serta melakukan politik wang dan ‘mengacukan’ amaran demi amaran kepada mana-mana cawangan mahupun bahagian agar keputusan yang diambil selari dengan hasrat sesetengah pihak. Inilah satu penghapusan UMNO secara sistematik jika ia dilakukan.
Namun, bagi yang bertanding dalam sebarang pemilihan UMNO, janganlah menggunakan masa ‘gawat’ ini sebagai satu medan memporak-perandakan parti sehingga ia menjadi lemah dan berpecah. Penggunaan wang dan kuasa sebagai instrumen mendapatkan sokongan perlulah dielakkan.
Biarlah pemilihan ditentukan dengan adil dan saksama mengikut pandangan luhur para perwakilan dan ahli parti tanpa suntikan ganjaran material yang dilihat sering mendominasi setiap kali pemilihan UMNO berlangsung.
Bagi yang menang atau yang tewas, semangat berpasukan dalam UMNO perlu terus dipastikan subur dan kembali mantap di sebalik kesan PRU 12. Jangan pemilihan UMNO sebagai satu lagi tsunami politik tanah air.
Janganlah para pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa bertindak keluar parti dan kemudiannya bersama pakatan pembangkang, sepertimana yang dilihat kepada beberapa pemimpin UMNO yang sanggup bersama pembangkang untuk menumbangkan UMNO dan BN dalam PRU 12 baru-baru ini.
UMNO walaupun berhadapan dengan pelbagai corak pemilihan sejak 1946 hingga kini, hinggakan dari serpihan UMNO itu lahirnya pelbagai parti politik lain dalam negara seperti Pas, Parti Negara, IMP, Semangat 46 serta Keadilan, namun, apa yang pasti UMNO masih utuh dengan 3.2 juta ahli serta menjadi kunci kuasa kepada BN itu sendiri.
Apa pun yang berlaku, rakyat harus sedar bahawa yang pincang dan menjadi isu bukanlah soal perjuangan UMNO, tetapi ia adalah disebabkan kepimpinan individu di dalamnya. Hakikat yang dirasai di peringkat nasional, perjuangan UMNO tetap relevan.
* Md. Shukri Shuib ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
|