|
Pindaan AUKU lahirkan mahasiswa matang
Pindaan AUKU lahirkan mahasiswa matang
Oleh RASHIDAH ABD. RAHIM
KUALA LUMPUR 25 Mac – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berharap pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dapat melahirkan golongan mahasiswa yang matang sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin masa depan.
Sambil menyambut baik hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk meminda AUKU tersebut, Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkipli berkata, langkah itu juga dapat mengembalikan hak kepada mahasiswa supaya mempunyai kebebasan untuk berpersatuan.
‘‘PKPIM berharap pindaan yang hendak dibuat terhadap AUKU akan memberi kebebasan kepada pelajar dan universiti dalam usaha melahirkan golongan mahasiswa yang matang dan mempunyai kemahiran sosial yang baik.
‘‘Penglibatan aktif mereka dalam persatuan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat seperti yang digerakkan mahasiswa dalam era 1960-an dan 70-an,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muntaqim menambah, kelonggaran yang bakal dilakukan terhadap AUKU dapat digunakan mahasiswa sebagai medan latihan kepimpinan serta platform dalam menyalurkan kreativiti dan idea mereka dengan baik terutama berkaitan isu semasa.
Selain itu, katanya, pemindaan akta itu dapat meningkatkan kualiti pendidikan termasuk memberi kesan positif terhadap aspek pembinaan modul akademik mahasiswa serta perkembangan penyelidikan dan pembangunan.
Justeru, beliau berharap pemindaan akta tersebut dapat dibincangkan secara bersama membabitkan para intelektual tanah air selain tokoh akademik dan NGO agar ia dapat memberi kesan positif terhadap mahasiswa, negara dan masyarakat.
|