|
Kontroversi pinggir Cina ibarat ‘ribut dalam cawan’ – Kuan Yew
Kontroversi pinggir Cina ibarat ‘ribut dalam cawan’ – Kuan Yew
SINGAPURA 23 Okt. – Menteri Mentor, Lee Kuan Yew menyifatkan kontroversi berhubung komennya bahawa kaum Cina di Malaysia “telah dipinggirkan” sebagai umpama “ribut dalam cawan” dalam soal hubungan Singapura-Malaysia, demikian menurut laporan akhbar The Straits Times.
Lee memberitahu media Singapura yang membuat liputan lawatannya ke Amerika Syarikat bahawa masalah dengan Malaysia memang tidak dapat dielakkan kerana ‘sebab-sebab’ sejarah dan cara berbeza masing-masing negara mengendalikan masyarakat berbilang kaumnya.
“Terdapat beberapa perbezaan asas dan dasar dalam cara mereka membentuk masyarakat mereka dan cara kita membentuk masyarakat kita,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Lee berkata, reaksi Kuala Lumpur mengenai kontroversi itu menunjukkan bahawa ia memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan Singapura.
“Saya ingin katakan bahawa ada perubahan ke arah kebaikan. Ia telah diukur, ia tenang dan ia menjurus kepada kerjasama di masa hadapan, yang sangat kita alu-alukan,” kata akhbar itu memetik beliau sebagai berkata ketika ditanya mengenai cara pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi reaksi kepada isu berkenaan berbanding cara yang mungkin dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya.
Lee, 83, menyinggung perasaan jiran-jirannya apabila beliau memberitahu satu forum mengenai tadbir urus yang baik pada 15 September lalu bahawa: “Jiran saya kedua-duanya mempunyai masalah dengan kaum Cina mereka. Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan oleh yang demikian, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan.
“Dan mereka mahu Singapura, dalam bahasa yang mudah, menjadi seperti orang Cina mereka menurut saja.”
Komen beliau itu menimbulkan bantahan di kalangan rakyat Malaysia dan mendorong Abdullah untuk menulis surat kepada Lee, memintanya memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu.
Dalam surat jawapannya, Lee berkata, beliau memohon maaf kerana kenyataan beliau itu menimbulkan “perasaan tidak selesa” kepada Abdullah tetapi mempertahankan bahawa apa yang dikatakannya itu tidak lebih daripada apa yang pernah beliau katakan banyak kali sebelum itu.
Abdullah yang enggan menyatakan sama ada beliau menerima ungkapan penyesalan daripada Kuan Yew hanya mengatakan bahawa beliau telah mengambil maklum mengenai perkara itu.
Akhbar itu melaporkan bahawa Lee juga mengambil perhatian bahawa Abdullah telah membayangkan bahawa Singapura akan memainkan peranan dalam Wilayah Ekonomi Johor Selatan.
“Lagipun, kita telah berjaya mewujudkan perbezaan kepada Batam, Bintan dan Karimun (di Indonesia). Sudah tentu kita boleh memberikan perbezaan kepada Johor Selatan.
“Itu pun jika mereka mahu kita memberikan perbezaan... ia satu keadaan menang-menang,” katanya dalam laporan itu.
– Bernama
|