|
Khazanah persis Temasek
Khazanah persis Temasek
KUALA LUMPUR 9 Mac - Syarikat pegangan pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd., telah mengambil langkah-langkah ketara untuk berubah menjadi sebuah entiti komersial berdasarkan kaedah yang sama diambil oleh syarikat Singapura, Temasek Holdings Pte. Ltd., sebelum ini, kata seorang penganalisis Standard & Poor's Ratings Services hari ini.
``Fokus Khazanah dalam memenuhi nilai pemegang saham, mengambil alih aset-aset penting dari kerajaan Malaysia dan melabur dalam syarikat-syarikat di luar negara adalah serupa dengan langkah yang diambil oleh Temasek dalam tahun 2002,'' kata Penganalisis Kredit Standard & Poor's, Greg Pau.
Pandangan Pau itu dimuatkan dalam satu laporan yang bertajuk Khazanah Nasional Berhad - A Temasek In The Making?.
``Kami percaya Khazanah kini bergerak dalam laluan yang betul dengan memberi penekanan kepada budaya prestasi tinggi, tadbir urus korporat dan kawalan dalaman yang baik serta memperkasakan pengurusan syarikat-syarikat berkaitan,'' kata beliau.
Bagaimanapun, tambah Pau, kejayaan muktamad pendekatan ini memerlukan Khazanah dan syarikat berkaitan berhati-hati antara mengimbangi kepentingan komersial dan peranan dasar serta mengekalkan disiplin agar tidak berkembang terlalu cepat dan berhutang terlalu banyak.
|