Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






RENCANA

Telekom Malaysia lakar penjenamaan global

Telekom Malaysia lakar penjenamaan global

Oleh Asuki Abas (Wartawan Utusan)


KETIKA membuat seruan supaya semua pihak di negara ini melaksanakan penjenamaan semula bagi menonjolkan imej Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan, syarikat tempatan perlu meletakkan diri mereka agar dilihat sebaris dengan syarikat-syarikat multinasional dunia.

``Marilah kita tekankan dengan berani bahawa kita juga ada syarikat-syarikat besar yang diurus dengan baik (dan) bahawasanya syarikat Malaysia juga boleh bersaing dengan yang terbaik daripada kalangan masyarakat perniagaan global,'' kata Perdana Menteri pada akhir bulan lalu.

Semalam, Telekom Malaysia Bhd. sebagai antara syarikat paling besar dan bertaraf global di negara ini, menyahut panggilan itu dengan melancarkan penjenamaan baru identiti korporatnya yang dianggap lebih gagah dan gah - TM.

Sewajarnya Telekom Malaysia menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain memandangkan sebagai antara syarikat milik kerajaan (GLC) terbesar, ia merupakan lambang kepada kekukuhan, dasar dan hala tuju ekonomi Malaysia.

Telekom Malaysia yang disenaraikan di Papan Utama bursa saham tempatan sejak 7 November 1990 memiliki modal pasaran bernilai lebih RM33.183 bilion, ketiga terbesar selepas Malayan Banking Bhd. dengan RM41.226 bilion dan Tenaga Nasional Bhd. yang mempunyai modal sebanyak RM33.613 bilion.

Setiap tahun, syarikat itu membuat sumbangan bernilai berbilion ringgit kepada negara melalui pembayaran cukai.

Keuntungan yang diperoleh Telekom Malaysia turut melimpah ke segenap lapisan ekonomi negara melalui hampir 30,000 kakitangannya di seluruh Malaysia.

Tahun lalu, gergasi telekomunikasi itu mencatat perolehan berjumlah RM13.25 bilion dengan keuntungan bersih RM2.61 bilion.

Tahun sebelumnya, perolehan dan keuntungan bersih yang direkodkannya masing-masing ialah RM11.79 bilion dan RM1.39 bilion.

Betapa besar keuntungan yang dicatatkan oleh Telekom Malaysia, lebih besar lagi makna strategi-strategi korporat yang akan dilaksanakan olehnya kepada imej dan penjenamaan semula syarikat tempatan seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri.

Kepentingan

Telekom Malaysia beroperasi di tujuh buah negara di seluruh dunia iaitu di Sri Lanka, Bangladesh, Thailand, Kemboja, Malawi, Guinea dan Ghana.

Syarikat itu memastikan kepentingannya di negara-negara tersebut adalah berdaya saing dan tidak teragak-agak untuk menarik semula pelaburannya jika ia didapati tidak menguntungkan.

Contohnya, tahun lalu ia melepaskan 12.6 peratus kepentingannya dalam Telkom South Africa selepas beroperasi selama lapan tahun.

Sebagai sebuah syarikat saham mewah bertaraf `blue chip', tindak tanduk Telekom Malaysia mendapat perhatian para pelabur termasuk para pengurus dana asing.

Tahun lalu, tindakan syarikat itu membeli pegangan saham majoriti dalam PT Excelmindo Pratama di Indonesia dan usaha agresif memiliki kepentingan sebuah pengendali telefon bimbit di India menggembirakan pelabur termasuk para pengurus dana asing ke pasaran saham negara.

Langkah itu menukar persepsi pengurus dana dan pelabur asing terhadap Telekom Malaysia dan pegangan saham oleh mereka dalam syarikat itu merupakan satu bukti nyata.

Pegangan saham asing dalam Telekom Malaysia melonjak daripada hanya empat peratus pada akhir tahun 2003 kepada kira-kira 22 peratus sekarang.

Secara sendirinya, peratusan pegangan saham asing Telekom Malaysia turut menggembirakan pelabur luar kerana ia menggambarkan tahap `keterbukaan' negara ini terhadap kemasukan kepentingan asing, termasuk dalam industri strategik seperti telekomunikasi.

Dalam senarai penguasaan ekuiti Telekom Malaysia, pemegang saham kelima terbesar syarikat itu selepas Khazanah Holdings Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Negara Malaysia dan sebuah syarikat penama tempatan, ialah cabang pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings (Private) Ltd. dengan lebih lima peratus pegangan.

Daripada sebuah syarikat milik penuh kerajaan, Telekom Malaysia ternyata berubah menjadi sebuah GLC yang dinamik, agresif dan yakin demi mencapai matlamat komersial tanpa mengira pegangan kepentingan.

Keputusan untuk menjenamakan semula Telekom Malaysia adalah amat bertepatan pada masanya, kerana dengan identiti baru akan terbentuk satu persepsi baru terhadap syarikat itu.

Bak kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahid Omar, identiti baru itu bersifat universal dan boleh diguna pakai bagi pelaburan-pelaburan Telekom Malaysia di luar negara.

Abdul Wahid juga menyatakan, penjenamaan semula itu akan membawa kepada perubahan cara kerja, amalan budaya, hinggalah kepada layanan pelanggan.

Sekiranya harapan murni itu menjadi kenyataan, sudah tentulah amat sesuai sekiranya Telekom Malaysia turut diketengahkan sebagai satu lagi jenama korporat global.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN