|
Langkah Bahagia tunggu kelulusan Bank Negara
Langkah Bahagia tunggu kelulusan Bank Negara
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Langkah Bahagia Sdn. Bhd., pemegang saham tunggal terbesar Malaysian Plantations Bhd. (MPlant) dengan kepentingan sebanyak 15.37 peratus, sedang menunggu kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk menjual keseluruhan kepentingannya dalam kumpulan perladangan itu kepada Temasek Holdings Ltd.
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas MPlant, Tee Kim Chan berkata, Seksyen 49 Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA) mensyaratkan kelulusan daripada Menteri Kewangan bagi penjualan kepentingan itu.
``Meskipun kedua-dua pihak bersetuju, ia tidak boleh dianggap sebagai perjanjian sehinggalah Menteri Kewangan bersetuju,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini.
Jun lalu, bank pusat itu memberi kelulusan kepada Langkah Bahagia untuk memulakan rundingan bagi penjualan kepentingan itu dan pada 12 Julai, Langkah Bahagia memaklumkan kepada Bursa Malaysia, rundingan dengan syarikat sekutu Temasek, Popular Promenade Sdn., telah selesai.
Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, MPlant berkata, Langkah Bahagia telah memberitahu syarikat itu bahawa ia (Langkah Bahagia) telah memohon kelulusan daripada Bank Negara bagi penjualan keseluruhan kepentingannya iaitu 178.7 juta saham dalam MPlant.
Ditanya sama ada kepentingan yang ditawarkan kepada Temasek itu akan ditambah kepada 30 peratus kerana menurut laporan, Temasek berminat untuk membeli 30 peratus kepentingan, Tee berkata, itu adalah urusan antara Temasek dan pemegang sahamnya.
``Kami, sebagai syarikat, tidak campur tangan dalam keputusan pemegang saham. Apa yang menjadi urusan kami ialah mempertingkatkan faedah bagi pemegang saham,'' kata Tee apabila ditanya sama ada Temasek telah menghubungi pemegang saham secara terus berhubung perkara itu.
Temasek adalah cawangan pelaburan kerajaan Singapura yang mempunyai pelaburan dalam rangkaian industri yang luas: pengangkutan dan logistik; perkhidmatan perbankan dan kewangan; telekomunikasi dan media; tenaga dan sumber; prasarana dan kejuruteraan serta farmaseutikal dan biosains.
Nilai pasaran syarikat-syarikat tersenarainya di Bursa Saham Singapura berjumlah S$90 bilion.
Syarikat-syarikat berkaitan Temasek yang ditubuhkan pada 1974 itu, termasuklah syarikat tersenarai jenama besar seperti Singapore Airlines, SingTel, DBS Bank, Keppel Corporation dan SembCorp Industries.
MPlant Group pada asasnya bergiat dalam penyediaan perkhidmatan kewangan melalui anak syarikat utamanya, Alliance Bank Malaysia Bhd.. - Bernama
|