VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 04/07/2013

Kelayakan terima bantuan persediaan YT

KUALA TERENGGANU 3 Julai - Kerajaan negeri menetapkan syarat hanya anak-anak kelahiran Terengganu yang keluarga mereka bermastautin di negeri ini layak mendapatkan bantuan persediaan yang ditawarkan Yayasan Terengganu (YT) bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah menjelaskan, selama ini ramai pemohon yang tidak layak tetapi mereka mendapat bantuan itu kerana tiada maklumat lengkap mengenai syarat permohonan dan status mereka.

Jelasnya, masalah itu menyebabkan wujud permohonan daripada anak kelahiran Terengganu yang bermastautin di negeri lain termasuk Singapura dan Brunei yang turut memohon sedangkan mereka tidak layak berbuat demikian.

"Mereka atau pemohon perlu cukup syarat iaitu hanya yang bermastautin di Terengganu, bukan di negeri lain dan borang itu dimuatkan dalam laman web YT.

"Kita ingin tegaskan di sini hanya mereka yang bermastautin di Terengganu layak memohon mendapatkan bantuan itu, maknanya pelajar kelahiran Terengganu yang bersekolah di luar negeri ini tetapi keluarga mereka bermastautin di Terengganu layak memohon," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang YT 2013 di Hotel Primula Beach Resort di sini semalam. Yang turut hadir ialah Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Yayasan berkenaan menyediakan sumbangan bantuan persediaan dalam bentuk wang tunai bagi kemasukan ke IPTA/S sebanyak RM750 untuk pelajar di peringkat diploma manakala RM1,200 bagi ijazah.

Mazlan berkata, bagi mengelak timbul salah faham, YT digesa memastikan syarat kelayakan memohon sumbangan bagi kemasukan ke IPTA/S dinyatakan dengan jelas di laman web agensi itu.

Laman web YT mencatatkan syarat permohonan anak negeri Terengganu, iaitu ibu, bapa atau penjaga yang merupakan rakyat Terengganu manakala institusi pengajian tinggi yang ditawarkan mesti diiktiraf oleh kerajaan.

Pemohon yang bukan rakyat Terengganu tetapi pemastautin tetap melebihi 10 tahun dikehendaki mendapat surat pengesahan pemastautin ibu, bapa atau penjaga daripada wakil rakyat, penghulu mukim atau ketua kampung.

Sementara itu pada majlis tersebut, seramai 28 kakitangan YT menerima anugerah sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja mengagumkan sepanjang tahun 2012.

Seramai 14 daripadanya turut menerima Anugerah Lama Berkhidmat (melebihi 20 tahun) dengan jabatan berkenaan.

Selain sijil, setiap penerima anugerah khidmat cemerlang juga mendapat insentif sebanyak RM1,000 manakala penerima anugerah lama berkhidmat pula mendapat hadiah tambahan sebanyak RM1,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.