SEKTOR kreatif kini menjadi pemacu baharu ekonomi negara dengan mengimbangi keperluan digital, identiti budaya dan pembangunan tenaga mahir. Namun, perbincangan tentang bakat kreatif sering berhenti pada tahap penghargaan permukaan.
Dalam konteks Ekonomi Madani, sektor kreatif bukan sekadar pelengkap tetapi antara enjin pertumbuhan masa hadapan. Sektor ini kini menyumbang sekitar lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan kandungan digital, platform penstriman dan permintaan hiburan visual.
Secara global, ekonomi kreatif menyumbang lebih daripada 2.2 trilion dolar Amerika dan menyediakan hampir 50 juta pekerjaan, menunjukkan potensi besar Malaysia untuk menjadi pemain utama.
Namun mengapa bidang kreatif yang jelas berasaskan kemahiran belum disepadukan secara sistematik ke dalam ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)?
Sebenarnya, industri seni sudah lama mengoperasikan model pembelajaran melalui pengalaman sebenar, berasaskan projek dan dinilai berdasarkan hasil.
Di set penggambaran, pengarah menggabungkan kemahiran teknikal dan artistik. Mereka memahami sinematografi, pencahayaan, reka bentuk adegan, keselamatan set, pengurusan bajet, logistik dan memimpin pasukan besar.
Pelakon pula bukan sekadar wajah di layar tetapi pekerja mahir yang membaca isyarat kamera, mengawal intonasi, memahami blok pergerakan dan mengekalkan prestasi di bawah tekanan. Semua ini sejajar dengan prinsip TVET iaitu pembelajaran melalui pengalaman langsung.
Menurut Teori Modal Insan, pelaburan terhadap kemahiran manusia membawa pulangan ekonomi jangka panjang. Jika pengarah dan pelakon diiktiraf melalui sistem TVET, negara menambah tenaga mahir, meningkatkan nilai tambah sektor kreatif, memupuk identiti budaya dan membuka peluang eksport kreatif.
Sijil Kemahiran Malaysia diberikan kepada juruanimasi, jurusunting dan juruteknik tetapi pengarah mahupun pelakon masih berada di kawasan kelabu, walaupun mereka membina kerjaya melalui pengalaman langsung serta model perantis yang konsisten dengan prinsip TVET.
Kerajaan boleh memperluaskan mekanisme Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL) kepada pengarah dan pelakon, memberi mereka sijil berdasarkan pengalaman kerja. Model ini berjaya di Australia dan Korea Selatan dengan pekerja industri kreatif diiktiraf sebagai artisan mahir. Langkah ini membuka peluang perlindungan sosial, latihan lanjutan, mobiliti kerjaya dan laluan menjadi pengajar atau jurulatih industri.
Korea Selatan dan United Kingdom (UK) membuktikan industri kreatif boleh menjadi jambatan pengaruh budaya dan sumber eksport bernilai tinggi. Malaysia berpotensi ke arah itu tetapi memerlukan keberanian dasar untuk menempatkan seni sebagai pekerjaan strategik.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action










