PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia bukan lagi sekadar laluan ke pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar). Sebaliknya, kini menjadi pemacu utama pembangunan bakat profesional dalam industri multimedia dan kreatif negara.
Dalam era ekonomi digital, TVET membuka ruang kepada golongan muda berjiwa seni dan inovatif untuk menonjol sebagai tenaga profesional yang mampu bersaing di peringkat global.
Statistik kebolehpasaran graduan TVET yang mencecah 95.1 peratus pada 2025 dan jumlah pendaftaran melebihi 430,000 pelajar membuktikan sistem ini semakin diyakini. Ia menandakan perubahan paradigma besar daripada dianggap ‘pilihan kedua’ kepada laluan pendidikan yang dihormati dan berdaya saing.
Dalam bidang multimedia kreatif, program TVET dirangka bagi membentuk pelajar secara menyeluruh, merangkumi aspek teknikal dan artistik. Pelajar bukan sahaja diajar penguasaan teknologi seperti animasi, reka bentuk grafik, pengaturcaraan multimedia, fotografi, videografi dan pembangunan aplikasi digital tetapi juga diasah imaginasi serta daya cipta.
Pendekatan ini melahirkan graduan yang bukan sekadar mahir dalam kerja teknikal asas, sebaliknya mampu menjadi animator, pereka kreatif, juruvideo, pereka laman web dan artis imej digital yang berpotensi tinggi.
Keunikan TVET terletak pada kesepadanan kurikulumnya dengan keperluan industri semasa.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sektor multimedia memerlukan kemahiran digital yang kompleks dan sentiasa berubah. Justeru, institusi TVET sentiasa mengemas kini modul pengajaran agar selaras dengan teknologi terkini.
Kolaborasi erat dengan agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan industri luar negara seperti China, Jepun, Jerman dan Australia memperkukuh mutu latihan dan pensijilan antarabangsa. Ini memastikan graduan TVET bukan sahaja diiktiraf di dalam negara, malah berpeluang menembusi pasaran kerja global.
Transformasi TVET ini juga menyokong aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembangunan tenaga kerja kreatif dan berkemahiran tinggi.
Melalui program seperti Diploma Multimedia Kreatif, Sijil Animasi 3D dan Sijil Seni Visual Kreatif, pelajar dilatih menguasai teknologi digital moden serta aspek keusahawanan. Mereka berupaya menghasilkan karya visual bertaraf dunia dan mengurus studio serta peralatan rakaman profesional.
Pendekatan berasaskan pembelajaran berasaskan amali menjadikan graduan lebih bersedia untuk memenuhi keperluan industri sebenar.
Bidang ini kini menawarkan kerjaya berpendapatan tinggi, berstatus profesional dan penuh nilai estetika.
Oleh itu, sinergi antara pihak industri dan institusi pendidikan amat penting untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial, skim insurans pekerjaan serta insentif yang mampu menaikkan martabat tenaga kerja TVET.
Pendekatan TVET juga sejajar dengan Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner yang mengiktiraf kecerdasan artistik dan kinestetik sebagai asas kreativiti dalam bidang seni digital.
Selain itu, Teori Modal Insan oleh Gary Becker turut menegaskan pelaburan terhadap kemahiran teknikal dan kreatif merupakan strategi penting bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Usaha memperkasa sistem ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan industri kreatif utama di rantau Asia sekali gus menjadikan anak muda kita pemangkin kepada ekonomi digital yang berdaya saing dan berwawasan.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau & Sixtysix Action Academy










