27 syarikat tempatan diiktiraf sebagai peneraju Industri 4.0 melalui MSMA 2025

27 syarikat tempatan diiktiraf sebagai peneraju Industri 4.0 melalui MSMA 2025

TENGKU Zafrul (empat dari kanan) bersama para pemenang pada Majlis Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025 yang berlangsung di Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 27 pengeluar dan penyedia teknologi Malaysia yang cemerlang dalam menerajui transformasi negara ke arah Industri 4.0 diiktiraf di Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025.

MSMA 2025 bertujuan mengiktiraf pengeluar tempatan yang berjaya mengadaptasi teknologi pintar dan amalan inovatif, sekali gus membantu mereka menembusi pasaran baharu dan mengintegrasi ke dalam rantaian nilai global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MSMA merupakan platform penting yang mengiktiraf dan menyuntik inspirasi kepada juara tempatan yang memacu inovasi dan pendigitalan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada MIDF, Bizsphere dan Smart4WRD atas komitmen teguh mereka dalam memperkukuh ekosistem pembuatan pintar negara, seiring aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Inisiatif seperti ini amat penting dalam mempercepat transformasi Malaysia ke arah hab pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi demi kesejahteraan rakyat serta perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Penyertaan penyedia penyelesaian teknologi tempatan dalam MSMA 2025 menonjolkan kemampuan negara yang semakin berkembang dalam inovasi teknologi.

Lebih memberangsangkan, banyak syarikat Malaysia kini menawarkan penyelesaian yang setanding atau lebih baik daripada piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia dalam landskap pembuatan global.

Sementara itu, Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, anugerah itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pengiktirafan ia merupakan pemangkin kepada transformasi industri secara menyeluruh.

“Melalui MSMA, kita bukan sahaja mengiktiraf pencapaian, tetapi turut membina momentum untuk penambahbaikan berterusan dalam sektor pembuatan.

“Dengan memperkasakan pengeluar tempatan untuk berinovasi dan mengadaptasi teknologi pintar, kita mengukuhkan asas ekosistem perindustrian Malaysia serta menyokong aspirasi nasional untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030,” katanya.

Inisiatif MSMA terus menjadi platform kerjasama antara sektor awam dan swasta, menggalakkan perkongsian ilmu, memupuk inovasi dan mempromosikan pengadaptasian amalan pembuatan pintar merentas pelbagai industri.

Memasuki edisi kedua, MSMA 2025 merupakan inisiatif awam-swasta yang dianjurkan bersama oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Bizsphere Sdn. Bhd. dengan kerjasama Smart4WRD, sebuah rangkaian komuniti yang mewakili ekosistem pembuatan pintar Malaysia serta disokong oleh MITI.

Sebanyak 36 pencalonan diterima pada tahun ini merangkumi empat kategori utama iaitu Smart SME, Smart Mid-Tier, Technology Excellence and People Excellence.

Seramai 27 pemenang telah dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam transformasi digital, kecekapan operasi dan inovasi mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN