Apa status Bandar Malaysia?

Apa status Bandar Malaysia?

LAKARAN grafik projek Bandar Malaysia pada September 2015 yang statusnya kini menjadi tanda tanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Bandar Malaysia yang dirancang di be­­kas lapangan terbang lama Pang­kalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi masih menimbulkan pelbagai persoalan sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya sejak dilancarkan pada 2011.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berkeluasan 197 hektar menggunakan mo­del pembangunan perkongsian awam-swasta untuk memba­ngun­kan pembangunan bercampur berorientasikan transit.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan untuk meneruskan semula projek berkenaan dengan anggaran nilai pembangunan ka­sar RM140 bilion selepas ia ditangguhkan secara tiba-tiba pa­da Mei 2017.

Selain itu, Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bersetuju Bandar Malaysia dibangunkan secara berpakej melibatkan banyak pihak.

Namun, sama ada skala projek ini dikekalkan atau berubah daripada pelan asal masih belum ditentukan kerajaan sebelum ini kerana ia masih dibincangkan antara Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan pada masa itu.

Biarpun Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menyatakan pendirian atau kata putus berhubung projek itu, pelaksanaannya masih menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan penganalisis hartanah dan ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis hartanah, Ishak Ismail berkata, sebarang keputusan sama ada projek itu diteruskan atau sebaliknya perlu mengambil kira keadaan negara terutamanya situasi ekonomi.

Katanya, ia bagi mengelakkan Malaysia terus kerugian disebabkan ruang komersial yang berlebihan berikutan tidak dapat memberi pulangan sewaan kepada pendapatan negara.

“Projek Bandar Malaysia adalah satu projek yang memberi impak positif kepada ekonomi negara. Bagaimanapun, perlu faham bahawa tanah itu milik kerajaan yang perlu ditukar ganti dengan tapak lain dan pembangunan projek itu perlu diselarikan dengan projek kereta api. Maka ia sebenarnya memberi sedikit tekanan kepada peruntukan kos untuk pembinaan yang akan memberi sambungan untuk Bandar Malaysia.

“Oleh itu, mungkin projek ini boleh diteruskan apabila keada­an ekonomi pulih sepenuhnya yang dijangka pada 2025 atau 2026, sebab sekarang ini berlaku lambakan hartanah komersial. Jadi Bandar Malaysia pasti akan memberi tekanan dan penawaran ruang komersial serta memberi masalah kepada kadar serapan hartanah di pasaran,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ishak yang juga Presiden Persatuan Perun­ding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) berkata, lebihan penawaran ruang komersial yang berlaku ketika ini mencapai tahap membimbangkan kerana pemain di pasaran masih kekal pada jumlah yang sama.

Katanya, ini kerana negara masih gagal menarik pelabur asing skala besar yang merupakan sasaran untuk menyerap ruang komersial yang sudah atau mahu dibangunkan itu.

“Dulu fokus pelabur dari China dan Timur, jadi mungkin mereka sekarang ini sedang bergelut dengan negara masing-masing. Jika mahu tumpukan ruang itu diserap pembeli atau penyewa tempatan, maka itu sedikit merisaukan.

“Sebab kita boleh lihat yang Permodalan Nasional Berhad (PNB) berpindah ke Merdeka 118 untuk penuhkan ruang, jadi Menara PNB, Jalan Tun Razak pasti akan kosong dan tak pasti siapa yang akan menyewa di situ, sama juga situasi di hab kewangan negara, Tun Razak Exchange (TRX).

“Jadi dua projek yang ber­dekatan Bandar Malaysia iaitu Menara PNB dan TRX itu perlu diselaraskan dahulu kadar peng­huni sebab pengurangan kadar itu mencerminkan masalah lebihan ruang yang tidak dapat diserap.

“Kalau Bandar Malaysia ma­suk lagi, bimbang lebihan itu akan berlaku sebab akan ada stok yang tidak dijual yang boleh merugikan negara jika tidak dipusingkan di pasaran.

“Justeru, pulihkan sepenuhnya ekonomi, pelabur asing masuk pasaran dan masa itu boleh dipertimbangkan untuk teruskan projek-projek mega seperti Bandar Malaysia,” katanya.

Bandar Malaysia dibangunkan pemaju induknya, TRX City Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn. Bhd., anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Disebabkan 1MDB dibebani hutang berjumlah RM42 bilion, syarikat itu membuat keputusan melupuskan 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.

Pada akhir tahun 2015, 1MDB menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Pada Julai 2021, dilaporkan kesepakatan antara IWH-CREC tidak diteruskan memandangkan perjanjian itu dipercayai berakhir pada Mei tahun tersebut berikutan syarat-syarat yang tidak dipenuhi.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, projek Bandar Malaysia boleh diteruskan dengan syarat ia tidak melibatkan dana daripada kerajaan.

Katanya, projek berkenaan perlu dibiayai sepenuhnya atau secara berpakej oleh pihak swasta.

Jelasnya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pelabur luar akan berani untuk melabur sekiranya pelan perniagaan Bandar Malaysia mampu memberi pulangan yang tinggi.

“Apabila ia dilaksanakan, pelabur luar sudah tentu akan datang melabur (jika beri pulangan tinggi) walaupun ekonomi negara masih lagi berdepan pelbagai cabaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN