PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengembalikan status Islam kepada seorang wanita berusia 36 tahun selepas membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan negeri terhadap keputusan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan pengislaman wanita terbabit.
Dalam keputusan 2-1, Hakim Datuk Yaacob Sam dan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan bahawa saman pemula yang difailkan wanita terbabit di Mahkamah Sivil selepas permohonannya di Mahkamah Syariah ditolak adalah bertentangan dengan Perkara 121A Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan peruntukkan tersebut, isu berkaitan status pengislaman seseorang individu hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Sementara itu, Hakim Datuk Rabintharan Paramaguru dalam keputusan menentangnya menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila membenarkan saman pemula wanita terbabit kerana saman tersebut tidak berkaitan dengan isu murtad atau keluar agama.
Sebaliknya, saman pemula itu difailkan bagi mencabar kesahihan proses penukaran agama itu.
Pada 2013, wanita itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk diisytiharkan keluar Islam tetapi permohonannya itu ditolak pada 2017, dan dia diperintahkan supaya menghadiri sesi kaunseling. Mahkamah Rayuan Syariah turut mengekalkan keputusan itu.
Wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam (sivil) pada 2021 dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.
Wanita kelahiran Selangor itu, berbapakan penganut agama Hindu manakala ibu beragama Buddha kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Mei tahun lalu, memohon pengisytiharan bahawa dia bukan seorang beragama Islam dan mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan perkataan “Islam” daripada kad pengenalannya.
Wanita itu mendakwa ibunya menukar agamanya pada 1991 di Jabatan Agama Islam Selangor. Pada masa itu ibu bapanya dalam proses perceraian dan selepas bercerai, ibunya berkahwin dengan lelaki Islam pada 1993 manakala bapa kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan pada 1996.
Dia mendakwa walaupun beragama Islam, dia terus menganut agama Hindu dan ibu serta bapa tirinya membenarkan dia mengamalkan agama Hindu – agama yang dianuti sejak dilahirkan.-UTUSAN