TAMAROT: Ratusan penduduk memenuhi kawasan perkuburan bagi menyaksikan pengebumian Rayan Oram.
Orang ramai sanggup mendaki bukit dan melalui jalan berbatu untuk sampai ke perkuburan di Igran, berhampiran Chefchaouen di utara Maghribi.
Di sana, mereka menunggu berjam-jam bagi menyaksikan pengebumian Rayan.
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter dan terperangkap selama lima hari.
Operasi menyelamat Rayan mendapat perhatian seluruh dunia dan kematiannya juga diratapi pelbagai pihak termasuk pemimpin dunia.
Selain itu, dua khemah besar dipasang berhampiran rumah Rayan bagi membolehkan orang ramai berhenti di situ untuk memberikan penghormatan terakhir.
Hal ini kerana kawasan perkuburan sudah terlalu padat apabila orang ramai sudah memenuhi kawasan itu sejak awal pagi lagi.
“Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang menghadiri pengebumian, kami semua terasa dengan pemergian Rayan.
“Rayan umpama anak kami semua, kesedihannya amat terasa,” kata seorang penduduk kampung. – REUTERS